
GOPENG, 16 November -Tiada sekolah di Perak yang perlu ditutup atau terjejas akibat banjir setakat ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Datuk Khairudin Abu Hanipah.
- Jabatan Pendidikan Negeri Perak memantau situasi banjir; sekolah berisiko perlu mematuhi SOP Ops Payung.
- Sekolah mesti bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan agensi bagi memastikan calon SPM dapat menduduki peperiksaan.
- 1,120 orang daripada 405 keluarga ditempatkan di 12 pusat pemindahan sementara di Larut, Matang dan Selama, Kerian, Hilir Perak, Manjung.
Beliau bagaimanapun berkata Jabatan Pendidikan Negeri Perak sentiasa melakukan pemantauan secara berterusan berhubung situasi banjir yang melanda beberapa daerah ketika ini.
“Saya menyeru kepada sekolah-sekolah yang dikategorikan sebagai berisiko (banjir) perlu memastikan SOP (prosedur operasi standard) yang terdapat dalam strategi Ops Payung dipatuhi.
“Selain itu, pihak sekolah juga perlu sentiasa bekerjasama dan mendapatkan apa jua pandangan daripada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah,” katanya selepas merasmikan Pertandingan Junior Food Security Innovation Challenge (J-Sinc) 2026 dan pelancaran Buku Hijau di Pusat Transformasi Luar Bandar Gopeng di sini hari ini.
Datuk Khairudin berkata pihak sekolah juga perlu memaklumkan dengan segera kepada pihak berkaitan sekiranya terdapat permasalahan melibatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Sebagai contoh, calon tidak boleh hadir ke pusat peperiksaan akibat jalan terputus, rumah ditenggelami air atau pusat peperiksaan tidak boleh digunakan akibat bencana itu.
“Perkara ini sering dititikberatkan dan kami lihat kolaborasi antara agensi yang terlibat dengan bencana sentiasa membantu seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, bomba dan polis untuk memastikan semua calon SPM tidak bermasalah untuk menduduki peperiksaan,” katanya.
Situasi di Perak semakin buruk apabila sebanyak 1,120 orang daripada 405 keluarga ditempatkan di 12 pusat pemindahan sementara di daerah Larut, Matang dan Selama, Kerian, Hilir Perak dan Manjung. – BERNAMA