
MANILA, 16 November – Malaysia mahu memperluas kerjasama ekonomi dengan China, khususnya dalam bidang teknologi tinggi, ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI).
- Kerjasama perlu melangkaui perdagangan, fokus kepada pemindahan teknologi dan pembangunan industri tempatan.
- Sektor tumpuan termasuk semikonduktor, robotik, kenderaan elektrik dan pembuatan termaju.
- Kerjasama pendidikan dan latihan TVET penting untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
- Rundingan Kod Tatalaku Laut China Selatan kini fasa kritikal, memerlukan iltizam politik kukuh; Malaysia komited sebagai pengerusi bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama itu perlu melangkaui perdagangan, dengan memberi tumpuan kepada pemindahan teknologi dan pembangunan industri tempatan.
Tambahnya, antara sektor yang diberi perhatian termasuk semikonduktor, robotik, kenderaan elektrik dan pembuatan termaju.
Manakala kerjasama pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) juga penting bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Pada masa sama, Malaysia turut menyambut baik mengenai naik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China, ACFTA 3.0, yang memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi digital, ekonomi hijau dan rantaian bekalan.
Usaha itu dilihat mampu membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan kepada perusahaan tempatan.
Dalam perkembangan lain, rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) kini memasuki fasa kritikal, dengan usaha memuktamadkan perjanjian itu terus menjadi keutamaan ASEAN dan China.
Jelas Datuk Seri Anwar, iltizam politik yang kukuh daripada semua pihak amat penting bagi memastikan COC yang berkesan dan substantif dapat dicapai.
Katanya, Malaysia selaku pengerusi bersama dengan China kekal komited mengekalkan momentum positif yang dicapai setakat ini.
Bagaimanapun, rundingan berkenaan masih belum dimuktamadkan meskipun kira-kira 80 peratus draf telah mencapai persetujuan sementara.
Proses rundingan dijangka diteruskan pada 2027 di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Singapura.
Malaysia turut menegaskan kepentingan mengekalkan keamanan, kestabilan serta kebebasan pelayaran dan penerbangan lintas di Laut China Selatan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak ASEAN-CHINA ke-29 di Manila.