
KUALA LUMPUR, 16 November – Agenda pemodenan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus dilaksanakan menerusi perancangan pembangunan aset pertahanan meskipun berdepan kelewatan dalam beberapa projek perolehan.
- Pemodenan dilaksanakan melalui Kertas Putih Pertahanan dan Kajian Separuh Penggal, setiap cabang ada pelan pembangunan tersendiri.
- Pelan khusus termasuk Pelan Transformasi 15 ke 5 TLDM, Army4NextG untuk Tentera Darat dan pelan pembangunan TUDM.
- Penerimaan aset dipantau; FA-50 diterima mengikut jadual manakala LMS dan MPA dijangka meningkatkan kesedaran domain maritim.
- Kelewatan projek LCS diakui, diharap diserahkan pada April; peruntukan terjejas oleh konflik antarabangsa memerlukan Minimum Essential Force.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha pemodenan itu dilaksanakan menerusi Kertas Putih Pertahanan (KPP) dan Kajian Separuh Penggal KPP, dengan setiap cabang perkhidmatan mempunyai pelan pembangunan tersendiri.
“Kita melihat kepada Kertas Putih Pertahanan dan selepas Kajian Separuh Penggal dilaksanakan, kita terus memberi perhatian kepada usaha pemodenan ATM menerusi ketiga-tiga cabang perkhidmatan.
“Pada masa sama, pembangunan Angkatan Masa Hadapan turut dilaksanakan berdasarkan pelan yang telah dirangka, termasuk Pelan Transformasi 15 ke 5 bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Army4NextG bagi Tentera Darat serta pelan pembangunan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Semua keperluan pembangunan telah dikenal pasti dan dirancang. Jadi, kita hanya berharap Kementerian Kewangan meluluskan permohonan peruntukan yang dikemukakan,” katanya selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026 PLKN 3.0 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, di sini.
Mengenai kelewatan penghantaran aset selepas perolehan diluluskan, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, perkembangan projek sentiasa dipantau menerusi pelbagai jawatankuasa dan pasukan khas bagi memastikan penyerahan mengikut jadual.
“Kita gembira kerana penerimaan pesawat pejuang FA-50 berjalan seperti yang dirancang. Dua pesawat telah diterima tahun ini, manakala empat lagi dijadualkan diterima sebelum April tahun depan.
“Seterusnya, menjelang Mac 2028, kesemua 18 pesawat itu dijangka diterima.
“Begitu juga dengan kapal misi pesisir (LMS) dan pesawat rondaan maritim (MPA) yang dijangka diterima sekitar Mac hingga April tahun depan bagi meningkatkan keupayaan kesedaran domain maritim negara,” katanya.
Menurutnya, keupayaan itu penting bagi memperkukuh pemantauan dan memastikan kehadiran aset ketenteraan Malaysia di perairan negara, khususnya di Laut China Selatan yang mempunyai tuntutan bertindih.
“Jika kita menganggap sesuatu kawasan perairan itu hak milik kita, kita mesti mempunyai keupayaan kesedaran domain maritim dan kehadiran di kawasan berkenaan.
“Ini bermakna kapal kita mesti berupaya beroperasi di kawasan tersebut supaya kehadiran Malaysia dapat dilihat, lebih-lebih lagi di perairan yang mempunyai tuntutan bertindih,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengakui projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) mengalami kelewatan, namun berharap penyerahannya dapat dilakukan mengikut sasaran pada April tahun depan.
“Projek LCS memang mengalami kelewatan, namun hari ini kita sudah dapat melihat bentuk fizikal kapal berkenaan. Walaupun masih terdapat beberapa perkara yang belum dilengkapkan, termasuk sistem peluru berpandu, kita berharap kapal itu dapat diserahkan pada April tahun depan seperti yang disasarkan.
“Insya-Allah, semuanya berjalan seperti yang kita harapkan,” katanya.
Mengulas kekangan peruntukan, beliau berkata, konflik di Asia Barat serta sekatan di Selat Hormuz memberi kesan kepada perdagangan dan pertumbuhan ekonomi dunia, sekali gus mempengaruhi perancangan kerajaan berhubung peruntukan pertahanan.
Bagaimanapun, keupayaan pertahanan negara perlu terus diperkukuh bagi memastikan ATM memiliki kekuatan minimum dalam menghadapi sebarang ancaman.
“Kita faham bukan semua peruntukan boleh diberikan kepada sektor pertahanan.
“Ada yang bertanya, ketika tiada peperangan, mengapa kita perlu memperuntukkan perbelanjaan yang besar untuk pertahanan?
“Kita perlu memahami bahawa pembelian aset, kekuatan ketenteraan dan keupayaan menguasai teknologi dapat menghalang mana-mana pihak yang berniat tidak baik daripada menyerang negara.
“Jika kita tidak mempunyai keupayaan tersebut, kita mungkin tidak berupaya mempertahankan negara dan kedaulatan sekiranya berlaku konflik. Atas sebab itu, kita mesti mempunyai kekuatan minimum yang diperlukan oleh pasukan tentera, atau Minimum Essential Force,” tambahnya lagi.