Akta Dana Kesihatan Nasional dijangka digubal 2029

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR, 16 November – Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan penggubalan Akta Dana Kesihatan Nasional (DKN) menjelang 2029 sebagai langkah memperkukuh sistem pembiayaan kesihatan negara dan merealisasikan liputan kesihatan sejagat.

RINGKASAN BERITA AI
  • DKN adalah perubahan struktur pembiayaan kesihatan besar, selaras dengan RMK13, memerlukan penggubalan undang-undang baru dan pertimbangan persekutuan-negeri.
  • Model hibrid menggabungkan pembiayaan melalui cukai am dan model Bismarck insurans sosial melalui dana kesihatan khusus untuk mewujudkan pembiayaan mampan.
  • KKM menjalankan pemodelan aktuari, pakej manfaat, tadbir urus dan asas perundangan serta penyelarasan Whole-of-Government bagi pelan penggubalan menyeluruh.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, DKN merupakan sebahagian daripada transformasi struktur pembiayaan kesihatan yang sedang dilaksanakan, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Pewujudan DKN merupakan perubahan struktural yang besar, melibatkan penggubalan undang-undang baharu, hubungan persekutuan-negeri dan berkemungkinan turut menyentuh aspek perlembagaan.

“Oleh itu, akta ini perlu dilaksanakan dengan cermat, teliti dan berhemat,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi yang ingin mengetahui tempoh masa kerajaan akan memperkenalkan kerangka pembiayaan kesihatan nasional yang mampan bagi mengurangkan kebergantungan sistem kesihatan awam pada peruntukan tahunan serta menangani peningkatan kos rawatan.

Menurut Datuk Seri Dr Dzulkefly, DKN yang sedang dirangka akan menggabungkan pembiayaan melalui cukai am bagi menjamin liputan kesihatan menyeluruh kepada rakyat, selain mengambil pendekatan model Bismarck yang berasaskan insurans sosial melalui dana kesihatan khusus yang diurus secara berasingan.

Pendekatan hibrid itu bertujuan membentuk kerangka pembiayaan kesihatan nasional yang mampan dan beracuankan Malaysia.

Katanya, KKM telah pun memulakan gerak kerja bagi meneliti aspek pembiayaan, pemodelan aktuari, pakej manfaat, tadbir urus dan asas perundangan DKN, selaras dengan konteks Malaysia dan amalan terbaik antarabangsa.

Usaha berkenaan turut melibatkan penyelarasan dasar merentasi kementerian dan agensi melalui pendekatan Keseluruhan Kerajaan atau Whole-of-Government, bagi memastikan pelan penggubalan DKN yang menyeluruh dan realistik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.