Malaysia-Perancis perkukuh hubungan dua hala melalui perkongsian strategik

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (depan, kiri) menghadiri sidang media bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron di Istana Elysee, Paris tahun lalu / BERNAMA

KUALA LUMPUR,16 November – Malaysia dan Perancis bakal memperkukuh hubungan dua hala menerusi usaha menaik taraf kerjasama sedia ada kepada Perkongsian Strategik, bersempena dengan lawatan rasmi Presiden Perancis, Emmanuel Macron ke Malaysia pada 16 dan 17 November ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mesyuarat dua hala tumpu memperkukuh kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, mineral kritikal, peralihan tenaga, pertahanan serta pendidikan.
  • Kedua-dua pemimpin dijangka menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman dalam pertahanan, pendidikan tinggi, mineral kritikal dan peralihan tenaga.
  • Jumlah dagangan Malaysia-Perancis RM17.78 bilion pada 2025, eksport RM6.05 bilion; Perancis rakan dagang ke-21 global dan ke-4 di Eropah.

Lawatan atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu merupakan kunjungan pertama Macron ke Malaysia sejak memegang jawatan Presiden Perancis pada Mei 2017.

Menerusi kenyataan Kementerian Luar, Macron akan diiringi isterinya, Brigitte Macron, selain beberapa Menteri Kabinet dan pegawai kanan kerajaan.

Pada Selasa, Macron dijadual menerima Istiadat Sambutan Rasmi di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, sebelum menghadiri mesyuarat dua hala bersama Datuk Seri Anwar.

Mesyuarat berkenaan akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, mineral kritikal, peralihan tenaga, pertahanan serta pendidikan.

“Kedua-dua pemimpin turut dijangka bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk cabaran global semasa serta peluang memperkukuh kerjasama antara negara yang mempunyai kepentingan bersama,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan.

Selain itu, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan bidang pertahanan, pendidikan tinggi, mineral kritikal dan peralihan tenaga.

Datuk Seri Anwar turut dijadual menganjurkan majlis makan tengah hari rasmi bagi meraikan Macron, isteri serta delegasi Perancis.

Dari sudut ekonomi, hubungan perdagangan kedua-dua negara kekal signifikan apabila jumlah dagangan Malaysia-Perancis mencecah RM17.78 bilion pada 2025.

Daripada jumlah itu, eksport Malaysia ke Perancis bernilai RM6.05 bilion, dengan produk elektrik dan elektronik sebagai eksport utama, manakala import dari negara berkenaan berjumlah RM11.73 bilion, terutama melibatkan peralatan pengangkutan, jentera dan bahan kimia.

Perancis kini merupakan rakan dagang ke-21 terbesar Malaysia di peringkat global dan keempat terbesar dalam kalangan negara Eropah.

Lawatan rasmi itu dijangka membuka ruang lebih luas kepada kerjasama strategik yang saling menguntungkan, sekali gus memperkukuh hubungan diplomatik kedua-dua negara yang terjalin sejak 1957.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.