
PUTRAJAYA, 15 November –Siasatan bagi mengenal pasti punca peningkatan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Stesen Pengawasan Kualiti Udara Batu Muda yang melebihi 150 dan berada pada tahap tidak sihat sedang dijalankan sejak dua hari lepas.
- JAS menjalankan pemeriksaan stesen, rondaan lapangan dan pengesanan kemungkinan punca pencemaran di kawasan sekitar Batu Muda.
- Pemeriksaan awal mendapati stesen beroperasi dengan baik, namun semakan teknikal lanjut sedang dijalankan untuk mengesahkan bacaan.
- Rondaan mengesan dua kejadian pembakaran terbuka kecil yang dipadamkan; dron turut digunakan untuk mencari punca pelepasan pencemar.
- Peralatan pemantauan tambahan dipasang; orang ramai dinasihat tidak melakukan pembakaran terbuka dan diminta melaporkan kejadian.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca peningkatan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Stesen Pengawasan Kualiti Udara Batu Muda yang melebihi 150 dan berada pada tahap tidak sihat sejak dua hari lepas.
JAS memaklumkan siasatan telah dimulakan sejak 14 November lalu, melibatkan pemeriksaan stesen pengawasan, rondaan lapangan serta pengesanan kemungkinan punca pencemaran udara di kawasan sekitar.
Menurut kenyataan itu, pemeriksaan awal mendapati stesen berkenaan beroperasi dengan baik, bagaimanapun semakan lanjut sedang dilaksanakan bagi mengesahkan bacaan yang direkodkan.
“Hasil rondaan turut mengenal pasti dua kejadian pembakaran terbuka berskala kecil yang berjaya dipadamkan pada hari sama.
“Bagaimanapun, bacaan IPU di Stesen Batu Muda didapati kekal melebihi 150, manakala Stesen Cheras yang terletak berhampiran merekodkan bacaan sekitar 60,” menurut JAS dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, JAS sedang menjalankan penelitian lanjut bagi mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada perbezaan bacaan IPU antara kedua-dua stesen berkenaan.
Sebagai langkah pengesahan, JAS telah mengarahkan pemasangan peralatan pemantauan kualiti udara tambahan berhampiran Stesen Batu Muda bagi mendapatkan data sokongan untuk analisis teknikal.
JAS memaklumkan dapatan awal akan dimaklumkan selepas pemantauan selama 24 jam dan semakan teknikal selesai dilaksanakan.
Dalam pada itu, pemantauan menggunakan dron turut dijalankan bagi membantu mengenal pasti kemungkinan punca pelepasan bahan pencemar udara, termasuk aktiviti pembakaran terbuka di kawasan sekitar.
“Orang ramai boleh mendapatkan bacaan IPU terkini setiap jam menerusi laman sesawang JAS di https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main atau aplikasi MyJAS EQMS yang boleh dimuat turun melalui Google Play dan App Store,” kata kenyataan itu.
JAS turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah dan premis milik mereka dicerobohi sehingga menyebabkan aktiviti berkenaan berlaku.
Menurut Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, individu yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, kompaun sehingga 50 peratus daripada denda maksimum boleh dikenakan bagi setiap kesalahan.
Orang ramai juga diminta bekerjasama memadamkan kebakaran kecil serta melaporkan kejadian pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerusi talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.