Dua lelaki didenda RM6,800 subahat pajak barang kemas mangsa ‘scam’

Foto RTM

DUNGUN, 15 November – Dua lelaki didenda keseluruhan RM6,800 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah membantu melupuskan barang kemas milik mangsa penipuan dalam talian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Muhammad Faris dituduh membantu melupuskan seutas rantai emas milik mangsa berusia 62 tahun di rumah Felda Kerteh 3 pada 5 November.
  • Nabil Anaqi didakwa bersubahat dengan menyerahkan barang kemas berkenaan untuk dipajakkan; barang digadaikan bernilai RM14,200.
  • Mangsa diperdaya individu menyamar sebagai pegawai TNB dan polis sehingga menyerahkan barang kemas bernilai kira-kira RM27,000.
  • Mahkamah menjatuhkan denda: Faris RM3,600 atau 10 bulan penjara; Nabil RM3,200 atau lapan bulan penjara.

Pengakuan bersalah itu dibuat Muhammad Faris Syafiq Nornazli dan Nabil Anaqi Mohd Ayob, masing-masing berumur 29 tahun selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Ng Yan Ni.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Faris Syafiq didakwa membantu melupuskan harta curi berupa seutas rantai emas milik mangsa berusia 62 tahun di sebuah rumah di Felda Kerteh 3, pada 5 November lalu.

Nabil Anaqi pula didakwa bersubahat dengan Muhammad Faris Syafiq dengan menyerahkan barang kemas berkenaan untuk dipajakkan.

Muhammad Faris Syafiq didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan, manakala Nabil Anaqi didakwa mengikut seksyen sama dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menjatuhkan denda RM3,600 atau penjara 10 bulan terhadap Muhammad Faris Syafiq, manakala Nabil Anaqi didenda RM3,200 atau penjara lapan bulan.

Mengikut fakta kes, mangsa sebelum itu diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai TNB dan polis sehingga menyerahkan barang kemas bernilai kira-kira RM27,000.

Siasatan mendapati barang kemas berkenaan digadaikan dengan nilai RM14,200 dengan kedua-dua tertuduh mempunyai peranan dalam urusan
berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maisarah Abd Razak, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nur Farahin Shazlin Mohd Redhuan Shah Edwin.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.