Lelaki ditahan selepas cuba larikan diri daripada sekatan jalan raya

Foto tangkap layar orang awam

PETALING JAYA, 15 November -Seorang lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis sehingga polis terpaksa mengejar suspek di sekitar Petaling Jaya, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenderaan enggan berhenti untuk pemeriksaan di sekatan jalan raya Jalan SS2/75 sekitar pukul 2.11 pagi.
  • Pemandu memandu secara berbahaya melalui beberapa laluan sebelum dikesan dan ditahan di Jalan Tiara Titiwangsa 10, Kuala Lumpur.
  • Semasa cubaan tangkapan, suspek bertindak agresif, melanggar kenderaan polis dan melarikan diri semula.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 186, 279 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan; suspek juga ada dua rekod berkaitan dadah.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 2.11 pagi, apabila sebuah kereta dipercayai enggan berhenti untuk pemeriksaan di sekatan jalan raya di Jalan SS2/75, Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kenderaan berkenaan dipandu secara berbahaya melalui beberapa laluan sebelum berjaya dikesan dan ditahan di kawasan Jalan Tiara Titiwangsa 10, Kuala Lumpur.

“Semasa cubaan tangkapan dilakukan, suspek telah bertindak agresif dengan melanggar kenderaan polis sebelum melarikan diri semula.

“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua rekod berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat atau membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan.

“Saksi yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan bilik gerakan ibu pejabat polis daerah petaling jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan berhubung dengan kes,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.