Lelaki positif dadah ditahan ceroboh Wisma Darul Aman

Foto Fail

ALOR SETAR, 15 November – Seorang lelaki di bawah pengaruh dadah dan bersenjatakan sebilah pisau menceroboh masuk ke perkarangan bangunan pentabiran kerajaan negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembantu keselamatan dan rakan sekerja mengejar serta menahan suspek selepas tidak berhenti di pos pengawal.
  • Suspek mengeluarkan pisau hitam kira-kira 15 cm, mengacukannya ke arah pengawal sebelum berlaku sedikit pergelutan.
  • Saringan air kencing positif syabu dan amphetamine; tiada rekod jenayah; kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) ABKLSB 1958.

Bagaimanapun suspek berusia 45 tahun yang menunggang motosikal jenis skuter tanpa berhenti di hadapan pos pengawal keselamatan untuk pemeriksaan berjaya ditahan pengawal keselamatan.

Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner (ACP) Syed Basri Syed Ali, ketika kejadian, pembantu keselamatan bersama rakan sekerja bertindak mengejar dan berjaya menahan suspek.

“Keadaan bertukar tegang apabila suspek bertindak mengeluarkan sebilah pisau kecil berwarna hitam berukuran kira-kira 15 sentimeter (cm) dari poket seluar lalu mengacukannya ke arah pengawal keselamatan sambil cuba melarikan diri, sebelum berlaku sedikit pergelutan.

“Suspek akhirnya berjaya ditahan polis dari unit peronda (MPV) yang tiba di lokasi sejurus selepas dihubungi,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut polis mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Hasil saringan air kencing mendapati suspek positif kepada dadah jenis syabu dan amphetamine dalam keadaan khayal semasa tangkapan kemudian dibawa ke Balai Polis Alor Setar untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958 kerana memiliki senjata berbahaya di tempat awam,” jelas kenyataan sama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.