Warga emas terselamat rumah dimasuki limpahan air bukit, tanah runtuh

Limpahan air bukit dan tanah susulan kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Merah/Foto JBPM

BAGAN SERAI, 15 November – Seorang lelaki warga emas terselamat selepas rumahnya dimasuki limpahan air bukit dan tanah susulan kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Merah, Simpang Empat Semanggol, di sini, malam ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • JBPM menerima panggilan kecemasan pada 7.05 malam; jentera BBP Bagan Serai tiba 33 minit kemudian.
  • Bumbung tambahan bahagian belakang runtuh; limpahan air dan tanah memasuki kediaman; mangsa dibantu orang awam dan ditempatkan di kedai berhampiran.
  • Operasi melibatkan tujuh anggota JBPM, memantau lokasi untuk memastikan tiada mangsa lain; operasi ditamatkan pada 8.20 malam.
  • Di Kedah, daerah Bandar Baharu sekali lagi dilanda banjir selepas hampir dua jam hujan; APM memantau, bancian dijalankan, penduduk dinasihatkan segera berpindah jika tidak selamat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.05 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai tiba di lokasi 33 minit kemudian.

“Ketika kejadian, bumbung tambahan di bahagian belakang rumah mangsa turut runtuh, manakala limpahan air bersama tanah memasuki kediaman berkenaan.

“Mangsa terlebih dahulu dibantu orang awam keluar dari rumah dan ditempatkan di sebuah kedai berhampiran,” katanya.

Menurut beliau, operasi melibatkan tujuh anggota itu turut menjalankan pemantauan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada mangsa lain terlibat.

“Mangsa turut dinasihatkan berpindah sementara berikutan keadaan hujan yang berterusan dan risiko pergerakan tanah susulan.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 8.20 malam,” jelas beliau lagi.

Anggota APM Negeri Kedah melakukan pemantauan dari semasa ke semasa keadaan banjir.

Sementara itu di Kedah, daerah Bandar Baharu sekali lagi dilanda banjir, selang beberapa hari selepas kejadian terdahulu, susulan hujan yang berlarutan hampir dua jam, petang tadi.

Menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kedah, antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Padang dan Kampung Belakang Pekan di Mukim Sungai Kechil Ilir, Kampung Majidee di Mukim Serdang serta Kampung Sungai Tepus di Mukim Bagan Samak.

“Petugas APM Daerah Bandar Baharu melakukan pemantauan di kawasan terlibat, manakala bancian bagi mengenal pasti rumah yang terjejas masih dijalankan.

“Sehubungan itu, penduduk di kampung berkenaan dinasihatkan agar sentiasa peka dengan perubahan keadaan semasa dan segera berpindah sekiranya keadaan tidak selamat atau berlaku kenaikan paras air di dalam kediaman masing-masing,” jelas APM Negeri menerusi Facebooknya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.