
KUALA LUMPUR, 15 November – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketujuh diteruskan hari ini bagi mengesan mangsa kelapan yang dihanyutkan kepala air di Sungai Pertak, Kampung Pertak, Kuala Kubu Bharu.
- Mangsa seorang lelaki warga India, 36 tahun, masih hilang sejak kejadian Isnin lalu.
- Kawasan pencarian dibahagikan kepada Sektor C dan Sektor D untuk carian sistematik.
- Pasukan termasuk Unit K9, Penyelamat Di Air, bot guna kaedah Donut/Expanding Square dan dron.
- Kejadian: lapan lelaki dihanyutkan; lima ditemukan lemas, tiga masih dicari; 26 lagi terselamat.
Mangsa merupakan seorang lelaki warga India berusia 36 tahun yang masih belum ditemukan sejak kejadian pada Isnin lalu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, operasi bermula pukul 8.30 pagi dengan penglibatan 43 anggota daripada pelbagai agensi.
Katanya, kawasan pencarian dibahagikan kepada dua sektor melibatkan Sektor C dan Sektor D bagi memastikan pencarian lebih sistematik dan menyeluruh.
“Seramai 25 anggota digerakkan bagi operasi sebelah pagi, termasuk Unit K9 yang menggunakan kaedah sniff searching di Sektor C untuk mengesan lokasi berpotensi sebelum pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menjalankan operasi selaman.
“Pasukan bot turut melakukan pencarian menggunakan kaedah Donut/Expanding Square dan Surface Searching di kedua-dua sektor, manakala sebuah dron digunakan untuk pemantauan dari udara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi pada sebelah petang akan ditentukan berdasarkan keadaan cuaca, paras air dan arus sungai, terutama selepas dua kejadian kepala air direkodkan di kawasan itu pada 11 dan 14 November lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang Isnin lalu, lapan lelaki daripada 34 individu yang berada di kawasan berkenaan dihanyutkan arus deras.
Daripada jumlah itu, lima mangsa ditemukan lemas, manakala tiga lagi masih dalam usaha pencarian.
Seramai 26 individu lain berjaya menyelamatkan diri dan diselamatkan anggota bomba.