Dua PATI warga India bayar RM3,000 untuk seludup masuk Malaysia

PGA menahan dua lelaki warga India yang cuba menyeludup masuk ke Malaysia melalui pengkalan haram/Foto PGA Briged Tenggara

KOTA BHARU, 15 November – Dua lelaki warga India membayar RM3,000 seorang kepada ejen untuk menyeludup masuk ke Malaysia sebelum ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Tebing Sungai Kok Keli, Tumpat semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedua-dua lelaki berusia 24 tahun kononnya ditawarkan pekerjaan sebagai buruh kasar di Kuala Lumpur.
  • Pasport mereka tiada cop atau rekod kemasukan sah oleh Jabatan Imigresen.
  • Dakwaan laluan: tiba di Krabi, menaiki van ke Tak Bai, kemudian bot menyeberangi Sungai Golok.
  • PGA merampas dua telefon bimbit dan RM133; kedua-dua disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kedua-dua lelaki berusia 24 tahun itu kononnya ditawarkan pekerjaan sebagai buruh kasar di Kuala Lumpur.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan terhadap pasport yang dikemukakan kedua-dua lelaki itu mendapati tiada cop atau rekod kemasukan sah ke Malaysia oleh Jabatan Imigresen.

“Hasil soal siasat awal mendapati mereka dipercayai memasuki Malaysia melalui pangkalan haram di Kok Keli selepas tiba di Krabi, Thailand menggunakan laluan udara.

“Mereka kemudian menaiki van ke Tak Bai sebelum menggunakan bot untuk menyeberangi Sungai Golok dan memasuki negara ini melalui pangkalan haram, ” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, seorang daripada lelaki itu yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan Punjabi memaklumkan mereka menggunakan khidmat ejen warga India dengan bayaran kira-kira RM3,000 seorang.

PGA turut merampas dua telefon bimbit dan wang tunai RM133, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2,133.

Kedua-dua lelaki disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.