Turkiye, Qatar tandatangan perjanjian pertahanan

Foto AFP

ISTANBUL, 14 November– Turkiye-Qatar memeterai perjanjian pertahanan bersama, yang bertujuan mewujudkan “pendirian bersatu” sekiranya berlaku serangan dari luar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengumuman dibuat selepas Erdogan mengadakan pertemuan dengan Emir Qatar di Istanbul.
  • Erdogan berkata perjanjian akan memperkukuh hubungan kedua-dua negara sebagai sekutu serantau.
  • Emir berkunjung selepas menghadiri sidang kemuncak iklim PBB COP31 di selatan Turkiye.
  • Kedua pihak bersetuju rundingan ancaman, latihan ketenteraan bersama, kerjasama industri pertahanan dan pertukaran latihan anggota.

Pengumuman itu dibuat selepas Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, mengadakan pertemuan dengan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, di Istanbul.

Menurut Erdogan, perjanjian berkenaan akan terus memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara yang merupakan sekutu serantau.

Pemimpin Qatar itu berkunjung ke Istanbul selepas menghadiri sidang kemuncak iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), COP31, di selatan Turkiye.

“Kedua-dua pihak mengalu-alukan pemeteraian perjanjian pertahanan bersama antara Qatar dengan Turkiye,” menurut kenyataan bersama yang disiarkan oleh agensi berita rasmi Qatar.

Perjanjian itu bertujuan “memperkukuh pertahanan kolektif serta mencapai keselamatan dan kestabilan serantau, selain menerima pakai pendirian bersatu dalam menghadapi sebarang serangan bersenjata dari luar yang menyasarkan salah satu atau kedua-dua pihak”, menurut kenyataan itu.

“Kedua-dua pihak bersetuju mengadakan rundingan mengenai ancaman terhadap keselamatan, serta memperkukuh kerjasama melalui latihan ketenteraan bersama, kerjasama dalam bidang industri pertahanan, dan pertukaran latihan anggota.”

Pejabat Erdogan sebelum ini turut mengumumkan pemeteraian perjanjian berkenaan, namun tidak memperincikan kandungannya.

“Perjanjian pertahanan bersama yang dimeterai Turkiye dan Qatar akan memberikan dimensi baharu kepada hubungan persaudaraan antara kedua-dua negara,” kata Erdogan dalam pertemuan itu, menurut kenyataan pejabatnya.

Erdogan turut menyatakan bahawa Turkiye dan Qatar akan memperluas kerjasama dalam sektor industri pertahanan. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.