
WASHINGTON, 15 November – Gangguan perjalanan udara akibat kegagalan sistem komunikasi dijangka mengakibatkan lebih 16,000 penerbangan dibatalkan di Amerika Syarikat (AS) sehingga Sabtu.
- Sebanyak 12,000 penerbangan dibatalkan pada Jumaat; 4,000 hingga 5,000 lagi dijangka dibatalkan pada Sabtu.
- Penutupan sementara empat jam selepas naik taraf kabel tembaga ke gentian optik menyebabkan masalah komunikasi dan gangguan paparan radar.
- Operasi menyebabkan ratusan ribu penumpang terkandas; beberapa diarahkan turun dari pesawat; FAA mohon maaf dan jangka operasi pulih Ahad.
Ketua Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Bryan Bedford, berkata sebanyak 12,000 penerbangan telah dibatalkan pada Jumaat, susulan gangguan berkenaan.
“Kami menjangkakan antara 4,000 hingga 5,000 daripada keseluruhan 41,000 penerbangan yang dijadualkan pada Sabtu, turut dibatalkan,”katanya dalam sidang media sambil membuat permohonan maaf kepada penumpang yang terjejas.
Beliau menjangkakan jadual penerbangan kembali beroperasi sepenuhnya, pada Ahad.
Penutupan sementara operasi penerbangan di seluruh negara pada Jumaat, telah mengakibatkan ratusan ribu penumpang terkandas, malah terdapat penumpang yang diarah turun daripada pesawat beberapa minit sebelum waktu berlepas.
Sementara itu, Setiausaha Pengangkutan, Sean Duffy berkata penutupan sementara operasi penerbangan selama empat jam pada Jumaat, selepas kerja-kerja penyelenggaraan bagi menaik taraf kabel tembaga lama kepada kabel gentian optik berkelajuan tinggi telah menyebabkan masalah komunikasi dengan pesawat serta gangguan pada paparan radar.
“Perjalanan udara masih selamat, namun pemulihan operasi memerlukan masa,”katanya.
Setakat ini juga, Presiden Donald Trump tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung gangguan itu, yang turut memberi kesan kepada penerbangan antarabangsa dari dan ke AS.
Sehingga tengah hari Sabtu, beliau masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai penutupan sementara operasi penerbangan berkenaan.-AFP