
WASHINGTON, 15 November – Microsoft pada Sabtu mengumumkan perkhidmatannya telah berjaya dipulihkan, sekali gus menamatkan gangguan besar-besaran yang menjejaskan perkhidmatan serta operasi perniagaan di seluruh dunia.
- Microsoft memaklumkan telah menangani punca utama gangguan melalui hantaran di platform X.
- Gangguan berpunca daripada masalah teknikal dan tidak ada kaitan dengan serangan siber atau teknologi AI.
- Sekurang-kurangnya 74 negara terjejas, menjejaskan Outlook dan fungsi Microsoft 365 bergantung Exchange Online seperti kalendar Teams, Copilot, SharePoint.
- Microsoft memberi amaran mengenai kempen pancingan data aktif yang menyebarkan e-mel palsu memancing pengguna klik pautan.
Menerusi hantaran di platform X, syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu memaklumkan, telah berjaya menangani punca utama gangguan berkenaan.
Sehari sebelum itu, Microsoft telah melaporkan sebahagian besar perkhidmatan e-mel Outlook serta perkhidmatan lain, berjaya dipulihkan.
Syarikat berkenaan turut memaklumkan gangguan perkhidmatan berpunca daripada masalah teknikal dan ‘tidak mempunyai kaitan dengan serangan siber atau teknologi kecerdasan buatan (AI)’.
Sekurang-kurangnya 74 negara dan wilayah dilaporkan mengalami gangguan pada Khamis yang mengakibatkan perkhidmatan produk Microsoft tidak dapat diakses.
Microsoft sebelum ini mengaitkan gangguan berkenaan dengan “peningkatan beban luar biasa” terhadap infrastruktur sistem.
Syarikat turut memaklumkan gangguan telah menjejaskan perkhidmatan e-mel Outlook serta beberapa fungsi dalam perkhidmatan Microsoft 365 lain yang bergantung pada Exchange Online, termasuk kalendar Teams, Copilot dan SharePoint.
Dalam perkembangan berkaitan, Microsoft turut memberi amaran mengenai “kempen pancingan data (phishing) yang sedang aktif” menyebarkan e-mel palsu sebagai notifikasi rasmi perkhidmatan Microsoft.
E-mel yang dikesan pada Jumaat itu memaklumkan kepada pengguna, mesej yang disekat sepanjang tempoh gangguan akan dipadamkan sekiranya penerima tidak mengklik pautan untuk memulihkannya.
Microsoft memberi amaran e-mel berkenaan, merupakan cubaan penipuan yang mengambil kesempatan terhadap gangguan yang dialami.-AFP