Bukan sekadar kilang, Malaysia perlu lahirkan pencipta teknologi – Sim

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin/ Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 November – Malaysia perlu memperkukuh keupayaan reka bentuk dan inovasi tempatan bagi membolehkan negara beralih daripada sekadar menjadi pengeluar kepada pencipta teknologi, pemilik harta intelek serta pembina jenama yang mampu menembusi pasaran global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu perkukuh reka bentuk dan inovasi sepanjang rantaian nilai, dari pembangunan produk hingga pengkomersialan.
  • Persaingan global semakin sengit; tidak lagi cukup bersaing atas dasar kos, reka bentuk kini keperluan ekonomi.
  • Industri budaya dan kreatif tunjuk potensi: guna tenaga naik 2.8% hampir 770,000; eksport sumbang RM63 bilion.
  • MITI bersama MRM terlibat usaha menubuhkan Pusat Kecemerlangan Industri Kreatif ASEAN ACE-CI di Manila.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, perubahan pendekatan itu penting bagi meningkatkan daya saing sektor perindustrian negara, selaras dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Beliau berkata, elemen reka bentuk dan inovasi perlu diperkasakan di sepanjang rantaian nilai industri, bermula daripada pembangunan produk hingga ke peringkat pengkomersialan.

“Namun begitu, landskap global berubah setiap tahun dan persaingan semakin sengit. Kita tidak boleh terus bersaing atas dasar kos sahaja. Persoalannya kini bukan lagi sama ada kita boleh mengilang, tetapi sama ada kita boleh mencipta.

“Di sinilah reka bentuk menjadi semakin penting, bukan sekadar sebagai fikiran sampingan, malah sebagai satu keperluan ekonomi,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, industri kebudayaan dan kreatif negara turut memperlihatkan potensi pertumbuhan apabila guna tenaga sektor itu meningkat 2.8 peratus kepada hampir 770,000 orang pada 2024.

Pada tahun sama, eksport barangan dan perkhidmatan budaya serta kreatif menyumbang RM63 bilion, bersamaan 4.6 peratus daripada keseluruhan eksport negara.

Sementara itu, di peringkat serantau, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) turut memainkan peranan dalam usaha menubuhkan Pusat Kecemerlangan Industri Kreatif ASEAN (ACE-CI) di Manila, Filipina.

Perkara itu dimaklumkan menerusi teks ucapan Sim yang disampaikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Sektor Perkhidmatan MITI, Muhammad Zulhilmi Ahmad, sempena Kuala Lumpur Design Summit 2026 (KLDS 2026), di sini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.