
KAJANG, 14 November – Sepasang suami isteri warga tempatan berusia lingkungan 30-an ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah kediaman di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor, semalam.
- Pemeriksaan awal: kedua-dua mangsa ditemui tidak bernyawa di dua ruang berasingan di tingkat atas rumah.
- Tiada petunjuk jelas unsur jenayah; jasad dihantar ke hospital untuk bedah siasat, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu hasil.
- Orang ramai diminta hubungi Sarjan Mejar Anif Jawawi di 016-6061 659 bagi membantu siasatan; hormati perasaan dan privasi keluarga.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 13 November kira-kira pukul 6.31 petang.
Menurut beliau, pemeriksaan awal di lokasi mendapati kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa di dua ruang berasingan di tingkat atas rumah berkenaan.
“Hasil pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang petunjuk jelas yang menunjukkan wujudnya unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua jasad pasangan suami isteri itu telah dihantar ke Hospital Kajang untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian.
Katanya, kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil bedah siasat dan siasatan lanjut.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Sarjan Mejar Anif Jawawi menerusi talian 016-6061 659 bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, polis turut meminta orang ramai supaya menghormati perasaan dan privasi keluarga mangsa yang sedang menghadapi saat sukar itu.