Op Putra 10.0: Barangan tiruan RM1.7 juta dirampas

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 November – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merampas barangan tiruan dianggarkan bernilai RM1.7 juta menerusi Op Putra 10.0 di Jalan Petaling, ibu negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan 2,150 unit barangan tiruan disimpan dalam enam stor hasil risikan lebih dua minggu.
  • Barangan termasuk jam tangan berjenama, kasut dan dompet; diperoleh dari luar negara, dijual RM100 hingga RM2,000 seunit.
  • Op Putra 10.0 operasi ke-10 sejak Mac 2023 bagi membanteras penjualan barangan tiruan.
  • KPDN rekod 74 kes Akta Cap Dagangan 2019, nilai rampasan RM6.6 juta, 38,893 unit; galak orang ramai salur maklumat.

Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, rampasan itu membabitkan 2,150 unit barangan tiruan yang disimpan di enam stor sebelum dipasarkan secara tidak sah.

“Seramai 40 anggota penguat kuasa KPDN telah melaksanakan serbuan ke atas enam premis yang disyaki menyimpan barangan tiruan hasil risikan selama lebih dua minggu bersama wakil pemilik cap dagangan dan pihak berkaitan.

“Dalam operasi yang dijalankan itu, pemeriksaan dilakukan di keenam-enam premis berkenaan dan pihak kami turut mengambil tindakan terhadap barangan yang disyaki tiruan, antaranya jam tangan berjenama, kasut, dompet serta pelbagai barangan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Operasi Stor Tiruan di Petaling Street, ibu negara.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati semua barangan berkenaan diperoleh dari luar negara dan dijual pada harga antara RM100 hingga RM 2,000 seunit.

Jelas beliau, Op Putra 10.0 merupakan operasi ke-10 sejak dilaksanakan pada Mac 2023 bagi membanteras kegiatan penjualan barangan tiruan.

Menerusi operasi tersebut, KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah merekodkan sebanyak 74 kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019, dengan nilai rampasan berjumlah RM6.6 juta membabitkan 38,893 unit barangan.

Manakala jumlah tangkapan dibawah Op Jeriji sepanjang pelaksanaan Op Putra adalah seramai 15 orang melibatkan kesalahan berkaitan dengan harta inelek.

KPDN akan terus mempergiat penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan berkenaan, selain menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penjualan barangan tiruan kepada pihak kementerian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.