
TEMERLOH, 12 November- Polis menahan dua lelaki disyaki terbabit dalam kes pecah masuk sebuah kedai runcit di Taman Perindustrian Temerloh, Mentakab, pada 9 November lalu, dengan anggaran kerugian RM5,000.
- Polis dari Balai Polis Mentakab menahan suspek kira-kira 5.15 pagi pada hari kejadian.
- Pemilik kedai membuat laporan kira-kira 4.00 pagi selepas pekerjanya memaklumkan kejadian.
- Barang dirampas termasuk pemotong besi Navato, topeng hitam, 58 karton rokok, 117 kotak rokok dan dua kotak peranti rokok elektronik.
- Suspek masing-masing ada tiga rekod jenayah; direman sehingga 14 November; kes disiasat mengikut Seksyen 457.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Nasyim Bahron berkata kedua-dua suspek ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Mentakab kira-kira 5.15 pagi pada hari kejadian.
Beliau berkata pihak polis menerima laporan daripada pemilik kedai kira-kira 4.00 pagi selepas dimaklumkan pekerjanya mengenai kejadian pecah masuk itu.
“Suspek pertama ditahan ketika berada di bahagian belakang kedai bersama alat yang dipercayai digunakan untuk memecah masuk premis, manakala suspek kedua ditahan di dalam kedai bersama barangan curi yang disembunyikan di belakang pintu dalam premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara barangan dirampas ialah satu pemotong besi jenama Navato, topeng muka berwarna hitam, 58 karton rokok, 117 kotak rokok pelbagai jenama serta dua kotak peranti rokok elektronik.
Mohd Nasyim berkata hasil tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan tiga kes pecah rumah dan kedai yang dilaporkan berlaku di kawasan Mentakab antara Oktober hingga November tahun ini.
“Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai masing-masing tiga rekod jenayah,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua suspek kini direman sehingga 14 November ini bagi membantu siasatan, manakala kertas siasatan telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan,” katanya.