
BERLIN, 11 November – Kementerian Pertahanan Jerman mengesahkan larangan penggunaan dron buatan China oleh angkatan tenteranya, termasuk bagi tujuan latihan ketenteraan, selain merancang menggantikannya dengan model keluaran tempatan atau negara Eropah lain.
- Keputusan dibuat atas faktor keselamatan data dan teknologi maklumat.
- Der Spiegel lapor kebimbangan dron boleh menghantar data latihan, lokasi dan sistem persenjataan kepada perkhidmatan perisikan China.
- Bundeswehr sebelum ini menggunakan dron komersial buatan China bagi tujuan latihan ketenteraan.
- Langkah bertujuan memperkukuh keupayaan kendiri dan kedaulatan teknologi angkatan tentera.
Menurut kenyataan kementerian itu, keputusan berkenaan dibuat atas faktor keselamatan data dan teknologi maklumat (IT), selain bertujuan memperkukuh keupayaan kendiri serta kedaulatan teknologi angkatan tentera negara itu.
“Semua model dron buatan China tidak lagi akan digunakan dan sistem sedia ada akan digantikan dengan produk keluaran tempatan atau dari negara Eropah lain,” menurut kenyataan itu.
Majalah berita Jerman, Der Spiegel, sebelum ini melaporkan keputusan berkenaan susulan kebimbangan bahawa dron terbabit berpotensi menghantar data berkaitan latihan ketenteraan, kawasan latihan dan sistem persenjataan kepada perkhidmatan perisikan China.
Kementerian itu menjelaskan bahawa sebelum ini angkatan tentera Jerman, Bundeswehr, menggunakan dron komersial buatan China bagi tujuan latihan.
“Langkah itu bertujuan memperkukuh keupayaan kendiri Bundeswehr dan kedaulatan teknologi. Sehubungan itu, model buatan China tidak lagi akan digunakan bagi tujuan sasaran atau latihan,” menurut kenyataan kementerian berkenaan.-AFP