Atta Rumnan pikat hati Rossa

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 11 November – Penyanyi muda Malaysia, Atta Rumnan, 19, mencipta satu lagi pencapaian dalam perjalanan seninya apabila diberi peluang berduet bersama penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Sri Rossa, selepas mencuri perhatian di festival muzik Remember Fest di Jakarta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Satu-satunya wakil Malaysia di Remember Fest, berkongsi pentas dengan nama besar muzik Indonesia.
  • Bergegas dari Jakarta ke Kuala Lumpur lalu Sabah, tiada latihan bersama namun memberi persembahan yang mendapat maklum balas positif.
  • Dipuji Rossa di media sosial; persembahan dan kebolehan berbahasa Mandarin buka peluang pasaran muzik Indonesia dan serantau.

Lebih membanggakan, Atta merupakan satu-satunya wakil Malaysia yang membuat persembahan di festival berkenaan, berkongsi pentas dengan barisan nama besar industri muzik Indonesia termasuk Padi Reborn, Dewa 19, Ada Band dan Tulus.

Bagaimanapun, kejutan paling bermakna hadir apabila Atta menerima undangan khas daripada Rossa untuk membuat persembahan bersama dalam sebuah acara seni di Sabah.

Undangan itu menyusul selepas kedua-duanya bertemu di belakang pentas Remember Fest, sekali gus membuka peluang kepada penyanyi muda berkenaan untuk berkongsi pentas dengan figura muzik yang disegani di Indonesia.

Menariknya, Atta hanya mempunyai masa singkat untuk membuat persiapan apabila perlu bergegas dari Jakarta ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan penerbangan ke Sabah.

Lebih mencabar, kedua-dua penyanyi itu tidak berkesempatan menjalani latihan bersama dan Atta hanya sempat mengikuti sesi pemeriksaan bunyi bersama pemuzik pengiring Rossa sebelum persembahan.

Bagaimanapun, kekangan masa itu tidak menghalang Atta daripada memberikan persembahan yang mendapat maklum balas positif, di hadapan tetamu kenamaan dan penonton yang hadir.

Dalam persembahan berkenaan, Atta turut membawakan beberapa lagu termasuk Kasih Tak Sampai, lagu Mandarin Wo Men Bu Yi Yang serta single terbaharunya, Maafkan.

Keupayaannya menyanyi dan berkomunikasi dalam bahasa Mandarin turut menyerlahkan kelebihan tersendiri penyanyi berusia 19 tahun itu.

Malah, Rossa sendiri tidak lokek memberikan pujian menerusi ruangan komen di media sosial Atta dengan menyifatkan persembahannya sebagai sesuatu yang membanggakan.

“Atta, you did great. Thank you for saying yes to the duet,” tulis Rossa.

Penghargaan terbuka itu pastinya menjadi suntikan semangat buat Atta untuk terus mengembangkan bakatnya, khususnya dalam menembusi pasaran muzik Indonesia dan serantau.

Dua pentas di dua negara berbeza itu bukan sahaja memberikan pengalaman berharga, malah membuka ruang lebih luas buat bakat muda Malaysia untuk mengukuhkan kehadiran dalam industri muzik serantau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.