Kedai komunikasi jadi pusat pengumpulan sindiket edar ganja

Foto RTM

KOTA BHARU, 10 November – Polis Kelantan menumpaskan kegiatan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai aktif sejak Ogos tahun lalu dengan merampas ganja dan bunga ganja bernilai hampir RM280,000 dalam operasi di Tanah Merah, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang lelaki tempatan 27 tahun ditahan selepas kereta terbabas; ditemukan 14 pil disyaki yaba bawah papan pemuka.
  • Kedai telekomunikasi di Tanah Merah berfungsi sebagai pusat pengumpulan untuk syarikat kurier seperti J&T dan City-Link.
  • Polis menemui 12 kotak ketulan mampat disyaki ganja seberat 90.38 kg dan satu kotak bunga ganja 107.6 gram.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952; hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan minimum 12 kali.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, dalam operasi pada pukul 3.30 petang itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang dilihat keluar dari sebuah kereta yang terbabas di tepi jalan di Kampung Batu 10, Batang Merbau.

Pemeriksaan di bawah papan pemuka bahagian pemandu menemukan satu paket plastik merah mengandungi 14 biji pil disyaki dadah jenis yaba seberat 1.4 gram, bernilai RM154.

Hasil soal siasat lanjut membawa kepada penemuan 13 bungkusan dadah di sebuah kedai telekomunikasi sekitar Tanah Merah.

“Kedai telekomunikasi itu berfungsi sebagai pusat pengumpulan barang untuk syarikat lain seperti J&T dan City-Link. Syarikat kurier akan mengambil barangan dari kedai berkenaan sebelum menghantarnya ke alamat yang diberikan pengguna.

“Dalam kes ini, kita mendapati terdapat kira-kira 13 lokasi alamat untuk penghantaran dadah,” katanya pada sidang media di sini.

Katanya, pemeriksaan menemukan 12 bungkusan kotak mengandungi ketulan mampat disyaki ganja seberat 90.38 kilogram bernilai RM271,140, selain sekotak bungkusan mengandungi tumbuhan kering disyaki bunga ganja seberat 107.6 gram yang dianggarkan bernilai RM8,608.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan mampu menjejaskan kegiatan penyalahgunaan dadah membabitkan kira-kira 90,502 pengguna.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Suspek direman selama tujuh hari bermula 9 hingga 15 November ini bagi membantu siasatan.

Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala semakan rekod mendapati lelaki itu mempunyai lima rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Datuk Mohd Yusoff berkata, polis masih mengesan tiga lagi suspek yang dipercayai melarikan diri ke negara jiran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.