Pemilihan acara Sukan SEA 2027 ikut proses dan ketetapan SEAGF

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari / Foto Facebook JBSNegara

KUALA LUMPUR, 10 November – Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari menegaskan isu kemungkinan Indonesia memboikot Sukan SEA 2027 tidak berbangkit memandangkan pemilihan acara sukan telah dibuat mengikut proses dan ketetapan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) serta dipersetujui negara-negara anggota.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia belum menerima kenyataan rasmi daripada Indonesia mengenai kemungkinan boikot Sukan SEA 2027.
  • Beberapa acara tidak disenaraikan, termasuk panjat dinding, mendayung, bola tampar pantai, gusti, catur, jujitsu, kickboxing dan bola baling.
  • Penganjur menyeru agar isu tidak menjejaskan perpaduan ASEAN; tema Sukan SEA 2027 ialah Celebrating Unity.

Beliau berkata, Malaysia setakat ini belum menerima sebarang kenyataan rasmi daripada Indonesia berhubung dakwaan negara itu mempertimbangkan tindakan memboikot temasya berkenaan susulan pengguguran beberapa acara sukan.

Menurutnya, pemilihan acara bukan dibuat secara unilateral, sebaliknya melalui proses yang telah ditetapkan dan dipersetujui bersama oleh negara-negara anggota SEAGF.

“Ini bukan kali pertama sesuatu sukan tidak dipertandingkan. Jika dilihat sebelum ini, terdapat juga tuan rumah yang tidak menganjurkan acara-acara tertentu.

“Jadi, semua ini melalui proses yang telah ditetapkan dan dipersetujui SEAGF serta semua negara terlibat. Saya rasa perkara ini tidak lagi berbangkit ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran Portal Rasmi Sukan SEA 2027 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan sebuah persatuan sukan kebangsaan Indonesia mencadangkan kemungkinan memboikot temasya itu selepas beberapa sukan yang menjadi keutamaan negara berkenaan tidak disenaraikan dalam program pertandingan.

Antara sukan yang dilaporkan tidak dipertandingkan ialah panjat dinding, mendayung, bola tampar pantai, gusti, catur, jujitsu, kickboxing dan bola baling.

Mengulas lanjut, Mohammed Taufiq berkata beliau menghormati pandangan yang disuarakan setiap negara, namun berharap isu berkenaan tidak menjejaskan semangat perpaduan dan hubungan kekeluargaan dalam kalangan negara ASEAN.

Tegasnya, Sukan SEA bukan sekadar medan persaingan untuk merebut pingat, sebaliknya platform penting bagi mengeratkan hubungan serta memperkukuh perpaduan negara serantau.

“Saya yakin tema yang kita pilih kali ini ialah Celebrating Unity bagi meraikan perpaduan. Ini merupakan temasya kekeluargaan, iaitu keluarga ASEAN.

“Saya yakin dan percaya setiap negara mempunyai kebijaksanaan masing-masing untuk memastikan perpaduan ASEAN terus dipertahankan dan diperkukuh” Jelasnya.

Pada Oktober lalu, sebanyak 473 acara membabitkan 43 jenis sukan diluluskan secara rasmi untuk dipertandingkan pada Sukan SEA 2027 di Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.