Lelaki mengaku tidak bersalah enam pertuduhan tipu RM782,380

Foto RTM

ALOR SETAR, 10 November – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas enam pertuduhan menipu membabitkan RM782,380 menerusi urusan modal francais minuman, tawaran pelantikan ketua pegawai eksekutif (CEO) dan jual beli kereta mewah antara 2022 hingga 2023.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah Majistret 2: tiga pertuduhan membabitkan RM450,540.
  • Dua mangsa ditipu modal francais: RM83,500 dan RM362,000; serahan cek tidak laku RM5,040.
  • Mahkamah Majistret 3: tiga pertuduhan RM331,840 termasuk RM250,500, RM55,000 dan RM26,340.
  • Ikat jamin RM4,000 setiap pertuduhan (jumlah RM24,000); syarat larangan ganggu mangsa; sebut semula 9 Disember.

Tertuduh, Mohamad Jaylani Sheikh Mohamad, 47 tahun, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Eliana Ismail dan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah.

Di Mahkamah Majistret 2, tertuduh berdepan tiga pertuduhan membabitkan RM450,540.

Bagi dua pertuduhan pertama, dia didakwa memperdayakan Nurbahiyah Md Salleh dan Noor Ashikin Yusoff supaya menyerahkan masing-masing RM83,500 dan RM362,000 sebagai modal perniagaan francais minuman yang didakwa tidak wujud, antara Mac hingga Jun 2023.

Pertuduhan ketiga membabitkan dakwaan menyerahkan cek tidak laku bernilai RM5,040 kepada Mohd Syahid Qayyum Zahkai bagi pembelian 500 cawan minuman yang kononnya untuk disumbangkan kepada beberapa premis dan sekolah sekitar Alor Setar pada 12 Ogos 2023.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret 3, tertuduh berdepan tiga lagi pertuduhan membabitkan RM331,840.

Dia didakwa memperdayakan Mazita Che Omar supaya menyerahkan RM250,500 sebagai modal francais minuman yang didakwa tidak wujud antara Januari hingga Mac 2023.

Tertuduh turut didakwa menipu Nidzomuddin Ismail membabitkan RM55,000 melalui tawaran pelantikan sebagai CEO dan pelaburan dalam sebuah syarikat yang didakwa tidak wujud, antara Ogos hingga September 2023.

Satu lagi pertuduhan membabitkan dakwaan menipu Ahmad Akashah Mohamed dalam urusan penjualan kereta mewah sehingga mangsa menyerahkan RM26,340 antara 17 hingga 28 Mac 2022.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan di Mahkamah Majistret 2 dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohamad Zakri Che Idris, manakala di Mahkamah Majistret 3 oleh Timbalan Pendakwa Raya Amal Aziemah Abd Kohar.

Tertuduh diwakili peguam Ainunhawa Azhar di kedua-dua mahkamah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan RM24,000, selain menetapkan syarat supaya dia tidak mengganggu atau menghampiri mangsa.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 9 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.