Inisiatif MediAsas buka pasaran baharu kepada hospital swasta

Gambar hiasan / RTM

KUALA LUMPUR, 10 November – Pelaksanaan inisiatif MediAsas mulai Januari 2027 dijangka membuka peluang pasaran baharu kepada hospital swasta menerusi akses kepada golongan yang mempunyai perlindungan insurans mampu milik.

RINGKASAN BERITA AI
  • MediAsas menggunakan kadar bayaran berdasarkan DRG, menyediakan sumber pendapatan tambahan kepada hospital swasta.
  • KPJ Healthcare berkelebihan kerana rangkaian luas di bandar membangun dan tumpuan kepada pesakit berpendapatan sederhana.
  • Hospital bandar membangun dan hospital komuniti dijangka mendapat manfaat daripada kadar asas nasional yang mungkin lebih baik.
  • Pelaksanaan dijangka berperingkat kerana tempoh menunggu dan kelayakan; IHH sumbangan awal kecil; kesan pendapatan 2027 terhad.

RHB Research berkata, inisiatif itu akan menggunakan kadar bayaran berdasarkan jenis diagnosis dan rawatan pesakit (DRG), sekali gus menyediakan sumber pendapatan tambahan kepada hospital swasta.

Katanya, KPJ Healthcare (KPJ) mempunyai kelebihan berikutan rangkaian hospitalnya yang luas di bandar yang sedang membangun serta tumpuan kepada golongan berpendapatan sederhana.

“Hospital di bandar membangun dan hospital komuniti juga dijangka mendapat manfaat daripada penggunaan satu kadar bayaran asas nasional, yang berpotensi memberikan bayaran lebih baik berbanding kadar semasa,” katanya dalam satu nota kajian.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, perkembangan MediAsas dijangka berlaku secara berperingkat berikutan tempoh menunggu dan syarat kelayakan insurans.

Pada masa katanya, IHH Healthcare (IHH) juga berpeluang menyertai inisiatif itu menerusi rangkaian hospital Pantai, namun sumbangannya dijangka kecil kepada perniagaan kumpulan itu di Malaysia pada peringkat awal.

RHB Research menyifatkan MediAsas sebagai peluang tambahan kepada industri dan bukan ancaman kepada model perniagaan hospital swasta, dengan kesan terhadap pendapatan sektor penjagaan kesihatan pada 2027 dijangka terhad.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.