Penunggang motosikal maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Kluang

Foto PDRM Johor

KLUANG, 10 November – Seorang penunggang motosikal berusia 22 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Anggerik Kahang Barat, di sini, kira-kira 4.30 petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kereta dikendalikan lelaki 29 tahun dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan menyebabkan pelanggaran dengan motosikal.
  • Kereta kedua dipandu lelaki 45 tahun yang berada di belakang motosikal turut melanggar kenderaan berkenaan.
  • Penunggang motosikal disahkan maut di lokasi; kedua pemandu dan dua penumpang terselamat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Nooh berkata, kemalangan berlaku ketika kereta dipandu lelaki berusia 29 tahun dalam perjalanan menghala ke Gunung Belumut, manakala mangsa datang dari arah bertentangan.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan motosikal mangsa lalu berlaku pelanggaran.

Sebuah lagi kereta yang dipandu lelaki berusia 45 tahun dan berada di belakang motosikal mangsa turut melanggar kereta berkenaan.

Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan maut di lokasi kejadian, manakala kedua-dua pemandu kereta serta dua penumpang terselamat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.