Prestasi cemerlang Safawi perkukuh pilihan Harimau Malaya

Pemain Malaysia Muhammad Safawi Rasid/ BERNAMA 

KUALA LUMPUR, 9 November – Prestasi cemerlang Safawi Rasid bersama Kuching City ketika ini meletakkan pemain sayap berusia 29 tahun itu dalam kedudukan terbaik untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama Harimau Malaya bagi menghadapi aksi persahabatan antarabangsa menentang China dan Yaman bulan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketiadaan Arif Aiman dan Faisal Halim membuka peluang besar untuk Safawi mengisi posisi sayap.
  • Safawi meledak dua gol bantu Kuching City menang 2-0 lawan Gangwon FC dalam aksi ACL2.
  • Sumbangan penalti Safawi pastikan Kuching City mara ke final Piala FA dengan agregat 3-2.
  • Safawi fleksibel bermain sayap kanan, nombor 10 atau sayap kiri, lapor diri bersama skuad Harimau Malaya untuk aksi persahabatan menentang China dan Yaman.

Lebih menarik, ketiadaan dua tonggak sayap, Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim, membuka ruang lebih besar buat Safawi untuk mengisi posisi berkenaan, sekali gus menjadi antara pilihan utama barisan kejurulatihan.

Safawi membuktikan ketajamannya apabila meledak dua gol untuk membantu Kuching City mencatat kemenangan pertama di pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) selepas menewaskan Gangwon FC 2-0, Khamis lalu.

Pemain itu turut meneruskan momentum apabila menyumbang satu gol menerusi sepakan penalti ketika The Cats menewaskan Selangor 2-0 dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA, semalam, sekali gus mengesahkan kemaraan ke final dengan agregat 3-2.

Bagaimanapun, Safawi berpandangan setiap pemain mempunyai kelebihan tersendiri dan tidak wajar dibandingkan dengan Arif Aiman yang turut memiliki keistimewaan dalam corak permainannya.

“Arif Aiman mungkin ada kelebihan dia sendiri. Setiap pemain mempunyai kelebihan masing-masing. Dengan ketiadaan Arif Aiman, mungkin saya boleh bermain di bahagian sayap kanan, sebagai nombor 10 atau juga sayap kiri.

“Jadi, bagi saya tiada masalah untuk beraksi di mana-mana posisi itu,” katanya kepada media selepas melaporkan diri bersama skuad kebangsaan, hari ini.

Harimau Malaya dijadual berlepas ke China pagi esok bagi menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang China pada 14 November dan Yaman pada 17 November ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.