PRN Melaka: 12,531 pengundi awal mengundi esok

Foto RTM

JASIN, 9 November – Seramai 12,531 pengundi awal akan menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Selasa ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • 31 pusat mengundi awal dibuka bermula pukul 8 pagi bagi melancarkan proses pengundian.
  • Petugas SPR di IPD Jasin melakukan persiapan akhir untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar.
  • Anggota keselamatan diingatkan menyemak pusat mengundi, hadir mengundi dan membawa dokumen pengenalan diri.

Daripada jumlah itu, seramai 9,769 terdiri daripada anggota tentera dan pasangan, manakala 2,762 lagi merupakan anggota polis, termasuk anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang layak mengundi awal.

Sebanyak 31 pusat mengundi awal akan dibuka bermula pukul 8 pagi bagi melancarkan proses pengundian.

Tinjauan RTM di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin mendapati petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang giat melakukan persiapan akhir bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.

Anggota polis, tentera serta pasangan yang layak mengundi diingatkan supaya menyemak pusat mengundi awal yang ditetapkan SPR, hadir ke pusat mengundi masing-masing dan membawa dokumen pengenalan diri.

Pengundian awal itu memberi peluang kepada anggota keselamatan yang terlibat untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi sebelum hari pengundian biasa pada 14 November ini.

Proses berkenaan penting bagi memastikan anggota keselamatan dapat menunaikan tanggungjawab mengundi sebelum bertugas menjaga keselamatan dan kelancaran pilihan raya pada hari pengundian biasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.