
KUALA SELANGOR, 7 November – Seramai 1,603 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berada dalam keadaan siap siaga menghadapi risiko banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula bulan ini.
- Kawalan cuti dilaksanakan di semua balai bagi memastikan kekuatan anggota mencukupi untuk tindak balas kecemasan.
- Pemantauan di kawasan berisiko banjir dipertingkatkan khususnya di lokasi yang dikenal pasti kerap terjejas.
- Pemeriksaan dan pengujian aset serta peralatan operasi dijalankan bagi memastikan semuanya berfungsi ketika diperlukan.
- Kesiapsiagaan diperkukuh melalui kerjasama dengan 45 pasukan bomba sukarela melibatkan 1,251 anggota berdaftar.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, kawalan cuti telah dilaksanakan di semua balai bomba bagi memastikan kekuatan anggota mencukupi untuk menghadapi sebarang kecemasan.
Menurutnya, pemantauan di kawasan berisiko banjir turut dipertingkatkan, khususnya di lokasi yang dikenal pasti kerap terjejas.
“Kita telah melaksanakan kawalan tidak kurang daripada 10 peratus bagi memastikan kesiapsiagaan di balai itu kita mampu melaksanakan tindak balas pada bila-bila masa,” katanya.
Sebagai persediaan tambahan, pemeriksaan dan pengujian aset serta peralatan operasi telah dilaksanakan bagi memastikan semuanya berfungsi dengan baik ketika diperlukan.
JBPM Selangor turut memperkukuh kerjasama dengan 45 pasukan bomba sukarela yang membabitkan 1,251 anggota berdaftar di seluruh negeri.
Kesiapsiagaan itu juga mengambil kira fenomena air pasang besar di Pelabuhan Klang bermula hari ini, dengan paras laut dijangka mencecah 5.2 meter.
Paras tertinggi diramalkan berlaku pada pukul 5.02 pagi, 8 November dan berada dalam kategori amaran.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak meredah kawasan banjir serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan diri dan keluarga.