
TOKYO, 6 November – Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Ryosei Akazawa meluahkan kekesalan susulan fungsi terjemahan automatik platform media sosial X milik Elon Musk hampir mencetuskan ketegangan diplomatik apabila memberikan gambaran bahawa beliau tidak mengenali pemimpin negara yang ditemuinya.
- Fungsi terjemahan automatik X tersilap menamakan pemimpin Bangladesh, menukar Tarique Rahman kepada Sheikh Hasina.
- Kesilapan sama turut berlaku pada hantaran mengenai pertemuan dengan Menteri Minyak Kuwait, tertukar kepada Menteri Tenaga Qatar.
- Akazawa berkata ia berlaku tiga kali, menggesa X memperbaiki fungsi terjemahan; X masih belum memberi maklum balas.
Ryosei Akazawa menegaskan perkara itu kepada pemberita bahawa beliau mengetahui identiti Perdana Menteri Bangladesh ketika ini, selepas satu hantaran berserta gambar pertemuan mereka memaparkan nama bekas perdana menteri negara itu dalam versi terjemahan.
“Ini sebenarnya perkara serius. Ada kemungkinan rakyat Bangladesh mendapat tanggapan bahawa Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun sendiri tidak mengetahui siapa perdana menteri negara mereka,” katanya kepada pemberita.
Hantaran asal Akazawa dalam bahasa Jepun di platform X pada 28 Oktober lalu, yang disertakan beberapa keping gambar, menyatakan beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Bangladesh yang dalam rangka lawatan, Tarique Rahman.
Bagaimanapun, fungsi terjemahan automatik platform itu tersilap menterjemahkan hantaran berkenaan ke bahasa Inggeris sehingga memberikan gambaran bahawa Akazawa bertemu Sheikh Hasina, bekas perdana menteri Bangladesh yang kini hidup dalam buangan di India sejak kebangkitan rakyat secara besar-besaran pada 2024.
Lebih memburukkan keadaan, insiden itu bukan kali pertama Akazawa berdepan kesilapan terjemahan pada platform berkenaan.
Menurut Akazawa, kesilapan sama turut berlaku selepas hantaran mengenai pertemuan dalam talian dengan Menteri Minyak Kuwait, Tareq Al-Roumi pada Khamis, apabila fungsi terjemahan automatik menyatakan beliau mengadakan perbincangan dengan Menteri Tenaga Qatar.
Akazawa turut memaklumkan bahawa hantaran terjemahan mengenai pertemuannya dengan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat (AS), Howard Lutnick juga memaparkan nama yang tidak tepat.
“Saya sudah mengalami perkara ini sebanyak tiga kali,” katanya sambil menggesa X memperbaiki fungsi terjemahan automatik platform itu.
Sementara itu, X belum memberikan maklum balas segera terhadap permintaan AFP untuk mengulas perkara berkenaan.- AFP