
KUALA LUMPUR, 5 November – Malaysia menyasarkan menjana lebih banyak nilai tambah ekonomi daripada aktiviti logistik dan pengedaran antarabangsa, berbanding hanya mengendalikan jumlah perdagangan yang besar sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab logistik bertaraf dunia.
- Fokus pada jana nilai tambah melalui penyimpanan, pengasingan dan pembungkusan semula barangan untuk pasaran global.
- Perkukuh rangkaian pengangkutan laut, darat dan udara melalui projek seperti Westports 2, Pelabuhan Pulau Carey dan ECRL.
- Galakkan pelaburan berkualiti seperti GDC Daiso untuk pemindahan teknologi, peningkatan kepakaran dan pekerjaan bernilai tinggi selaras Ekonomi MADANI dan NIMP 2030.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pelabuhan Klang yang merekodkan pengendalian 15.1 juta Twenty-foot Equivalent Unit (TEU) pada 2025, serta tersenarai antara 10 pelabuhan kontena tersibuk dunia, membuktikan keupayaan Malaysia dalam sektor perdagangan maritim.
Datuk Seri Anwar berkata, kekuatan tersebut perlu dimanfaatkan untuk menjana lebih banyak nilai tambah ekonomi dalam negara melalui aktiviti penyimpanan, pengasingan dan pembungkusan semua barangan bagi pasaran global.
“Langkah seterusnya adalah memanfaatkan kekuatan ini dengan meraih lebih banyak nilai tambah ekonomi daripada aktiviti perdagangan melalui pelabuhan kita, bukan sekadar menumpukan kepada jumlah kargo.
“Pusat Pengedaran Global (GDC) ini menunjukkan bagaimana usaha itu dapat direalisasikan. Barangan akan diasingkan, disimpan dan dibungkus semula untuk pasaran global yang berbeza di sini, di Pulau Indah. Di sinilah nilai tambah dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi akan diwujudkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Pengedaran GDC baharu Daiso di sini hari ini.
Selain itu, kerajaan turut mempergiat pelaburan dalam infrastruktur pengangkutan merangkumi sektor darat, laut dan udara sebagai usaha memperkukuh kedudukan negara sebagai hab logistik bertaraf dunia.
“Justeru, kerajaan membuat pelaburan dalam setiap mod pengangkutan bagi memperkukuh rangkaian logistik negara. Bagi pengangkutan laut, pembangunan Westports 2 dijangka hampir menggandakan kapasiti Westport, selain kita turut merancang pembangunan pelabuhan mega di Pulau Carey.
“Dalam sektor pengangkutan darat, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan rangkaian rel kargo akan membolehkan lebih banyak barangan dihantar ke pelabuhan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan melalui lebuh raya. Bagi pengangkutan udara, kapasiti lapangan terbang dan kemudahan kargo udara juga akan terus diperluas,” ujarnya.
Tambah beliau, melalui Dasar Pengangkutan Negara yang akan diperkukuh, semua kemudahan pengangkutan tersebut akan berfungsi sebagai satu sistem pengangkutan bersepadu.
Mengulas mengenai Pusat Pengedaran GDC baharu Daiso, Perdana Menteri menekankan kepentingan memastikan pelaburan antarabangsa memberi manfaat langsung kepada syarikat tempatan melalui pemindahan teknologi, pembangunan kepakaran dan pewujudan pekerjaan bernilai tinggi.
“Saya juga berbesar hati kerana kemudahan ini memberikan kesan gandaan serta-merta kepada perniagaan tempatan. Daiso melibatkan rakan kongsi Malaysia seperti PKT Logistics Group dan syarikat pengangkutan domestik secara langsung dalam operasi pergudangan, pengangkutan dan pengedarannya.
“Usaha ini meningkatkan keupayaan tempatan, menggalakkan pemindahan teknologi dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk golongan belia,” katanya lagi.
Menurutnya, penglibatan syarikat tempatan seperti PKT Logistics Group dalam operasi Daiso turut membuka peluang kepada industri logistik domestik untuk meningkatkan kepakaran dan memperluas penyertaan dalam rantaian bekalan global.
Usaha itu selari dengan aspirasi Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) untuk menarik pelaburan berkualiti, memperkukuh keupayaan industri tempatan serta meningkatkan daya saing Malaysia dalam perdagangan antarabangsa.