‘Bank’ darah di Perancis, jadi sasaran serangan siber

Foto hiasan / AFP

PARIS, 4 November– Kemudahan penyimpanan sejuk yang menempatkan bekalan darah hasil derma di Perancis, menjadi mangsa serangan siber.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sistem pemantauan dan kawalan di tiga lokasi terjejas oleh insiden keselamatan siber.
  • Bekalan darah dan beg plasma diprogramkan mencapai suhu 110 darjah Celsius berbanding asal negatif 30 darjah Celsius.
  • EFS memaklumkan insiden tidak menjejaskan kesihatan awam dan tiada kehilangan produk darah dilaporkan.
  • Siasatan dibuka tanpa petunjuk pelaku, penggera memastikan bekalan darah kekal selamat.

Insiden terbaharu itu menambah kebimbangan di seluruh Eropah, susulan beberapa siri kejadian penggodaman yang disyaki berlaku sejak kebelakangan ini.

Menurut Pertubuhan Darah Perancis (EFS), “insiden keselamatan siber” yang menyasarkan penyedia perkhidmatan penyejukan, telah menjejaskan sistem pemantauan dan kawalan di tiga lokasi.

Majalah Perancis, Le Canard Enchaine melaporkan, kemudahan penyimpanan sejuk berkenaan, yang menempatkan sampel darah serta beg plasma untuk tujuan pemindahan darah dan penghasilan ubat-ubatan, telah diprogramkan untuk mencapai suhu 110 darjah Celsius (°C), berbanding suhu asal negatif 30 °C.

Bagaimanapun, EFS memaklumkan insiden tersebut tidak memberi sebarang kesan terhadap kesihatan orang awam.

“Tiada kehilangan produk darah, dilaporkan.”

Terdahulu, dilaporkan institusi serta syarikat di seluruh Eropah kini berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan beberapa siri penggodaman yang disyaki menyasarkan sistem penyejukan pasar raya sehingga mencetuskan gangguan besar sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, pejabat Menteri Kesihatan, Stephanie Rist memberitahu sistem pemantauan dan penggera di kemudahan berkenaan berjaya memastikan bekalan darah kekal selamat.

Siasatan telah dimulakan bagi mengenal pasti bagaimana insiden itu berlaku, namun tiada sebarang petunjuk mengenai pihak yang mungkin bertanggungjawab terhadap serangan siber berkenaan. -AFP.

 

 

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.