
ISTANBUL, 4 November – Malaysia dan Türkiye terus memperkukuh hubungan strategik menerusi kerjasama dalam sektor perdagangan dan pertahanan, dengan sasaran meningkatkan nilai dagangan dua hala kepada AS$10 bilion menjelang 2030.
- Kerjasama perdagangan diperkukuh; Malaysia rakan dagang terbesar Türkiye di Asia Tenggara, mempunyai FTA dan ruang luas untuk meningkatkan pertukaran dagangan.
- Perolehan pertahanan diteruskan termasuk pembangunan tiga kapal LMS, pelancaran kapal pertama, dan perancangan perolehan aset pertahanan tambahan dari Türkiye.
- Kerjasama dua hala membuka peluang ekonomi baharu serta mengukuh keupayaan pertahanan dan keselamatan maritim negara.
Duta Besar Malaysia ke Türkiye, Adlan Mohd Shaffieq berkata, sasaran berkenaan dipersetujui kedua-dua pemimpin ketika pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Januari lalu.
Menurut beliau, kedua-dua negara menyasarkan peningkatan nilai dagangan sebanyak AS$1 bilion setiap tahun bagi mencapai sasaran berkenaan, berbanding nilai semasa sebanyak AS$5.6 bilion.
Beliau optimis sasaran itu mampu direalisasikan memandangkan masih banyak ruang untuk memperluas kerjasama perdagangan antara kedua-dua negara.
“Malaysia merupakan rakan dagang terbesar Türkiye di Asia Tenggara. Selain Singapura, Malaysia juga mempunyai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Türkiye.
“Jadi, terdapat banyak ruang untuk kita meningkatkan lagi perdagangan antara kedua-dua negara,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia turut merancang meneroka perolehan aset pertahanan tambahan dari Türkiye bagi memperkukuh keupayaan pertahanan dan keselamatan maritim negara.
Perancangan itu merupakan kesinambungan kerjasama pertahanan kedua-dua negara, termasuk pembangunan tiga kapal Littoral Mission Ship (LMS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Adlan berkata, pelancaran kapal pertama pada bulan lalu merupakan antara perkembangan penting dalam kerjasama berkenaan.
Beliau berkata, Timbalan Menteri Dalam Negeri turut berada di Istanbul bagi menghadiri majlis pelancaran kapal pertama berkenaan.
Menurutnya, sebuah lagi kapal pengawal pantai milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dijangka dilancarkan tahun hadapan.
“Selain itu, terdapat juga perancangan untuk perolehan aset-aset lain daripada kerajaan Türkiye. Kita juga telah membuat perolehan dua kapal pengawal pantai untuk kegunaan Maritim Malaysia,” katanya dalam sidang media sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke Istanbul.
Kerjasama dalam sektor perdagangan dan pertahanan itu mencerminkan usaha berterusan Malaysia dan Türkiye memperluas hubungan dua hala, sekali gus membuka peluang baharu dalam pembangunan ekonomi serta pengukuhan keupayaan keselamatan maritim negara.