Istanbul pentas Malaysia perkukuh diplomasi dan kerjasama rentas global

Foto hiasan

ISTANBUL, 4 November – Lawatan kerja empat hari Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke Istanbul, Türkiye bermula esok dijangka memperkukuh hubungan strategik Malaysia-Türkiye, khususnya dalam bidang perdagangan, pendidikan tinggi, latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta kerjasama geopolitik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia menyuarakan perspektif Asia di TRT World Forum mengenai peranan Türkiye dalam menangani krisis geopolitik.
  • Memperkukuh kerjasama dua hala dalam perdagangan melalui perjanjian perdagangan bebas serta inisiatif pembangunan TVET dan pengajian tinggi bersama universiti Türkiye.
  • Meningkatkan pengaruh diplomasi Malaysia merentas rantau melalui perbincangan strategik, pertemuan kanan dan pengembangan peluang ekonomi serta pendidikan.

Lawatan itu turut membuka ruang kepada Malaysia untuk menyuarakan perspektif negara dan rantau Asia berhubung peranan Türkiye dalam menangani krisis global menerusi penyertaan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid sebagai panelis utama pada TRT World Forum 2026.

Beliau dijadual menyertai sesi bertajuk ‘Türkiye: From Regional Power to Multi-Regional Actor’ anjuran Turkish Radio and Television Corporation (TRT), yang menghimpunkan pemimpin dan tokoh antarabangsa bagi membincangkan perkembangan serta cabaran geopolitik semasa.

Duta Besar Malaysia ke Türkiye, Adlan Mohd Shaffieq/ RTM

Duta Besar Malaysia ke Türkiye, Adlan Mohd Shaffieq berkata, hubungan perdagangan kedua-dua negara mempunyai ruang yang luas untuk terus dipertingkatkan, mengambil kira kedudukan Malaysia sebagai antara rakan dagang utama Türkiye di rantau ASEAN.

Menurutnya, kewujudan perjanjian perdagangan bebas antara Malaysia dan Türkiye turut menyediakan landasan untuk memperluas perdagangan serta kerjasama ekonomi.

“Malaysia merupakan rakan dagang terbesar di Asia Tenggara dalam kalangan negara ASEAN. Selain Singapura, Malaysia mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan Türkiye. Jadi, banyak ruang untuk kita mempertingkatkan lagi perdagangan antara kedua-dua negara,” katanya.

Dalam aspek pembangunan modal insan, lawatan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara turut merangkumi kunjungan ke Ibn Haldun University bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang TVET dan pendidikan tinggi.

Agenda itu turut diteruskan menerusi perbincangan meja bulat bersama Foundation for Political, Economic and Social Research (SETA), yang antara lain memberi tumpuan kepada perkembangan geopolitik serta peluang kerjasama antara kedua-dua negara.

Adlan berkata, MARA turut merancang memeterai surat kerjasama dengan beberapa universiti teknikal di Türkiye, termasuk Sabancı University dan Yıldız Technical University.

Katanya, MARA sebelum ini telah menghantar 17 pelajarnya ke Sabancı University bagi mengikuti pengajian dalam bidang seni bina, kejuruteraan dan ekonomi.

Kerjasama berkenaan dijangka memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan teknikal dan vokasional, sekali gus memperluas peluang pengajian serta pemindahan kepakaran antara institusi kedua-dua negara.

Profesor Ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Saidatulakmal Mohd

Sementara itu, Profesor Ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Saidatulakmal Mohd berkata, hubungan Malaysia-Türkiye perlu terus diperkukuh menerusi pendekatan keterbukaan dan kerjasama strategik dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global.

Menurutnya, kedudukan Türkiye yang mempunyai pengaruh di Asia, Timur Tengah dan Eropah membuka peluang kepada Malaysia untuk memperluas jaringan kerjasama merentas rantau.

“Türkiye merupakan satu kuasa besar yang mempunyai pengaruh sangat baik di Asia, Timur Tengah mahupun Eropah. Inilah masa untuk Malaysia bekerjasama dengan Türkiye merentas global dan memastikan kita mendapat manfaat bersama,” katanya.

Dari sudut ekonomi, hubungan dua hala itu turut disokong peningkatan nilai perdagangan yang melebihi RM24 bilion pada 2023 dan 2024.

Kedua-dua negara turut menyasarkan nilai perdagangan sebanyak USD10.1 bilion setahun, bersamaan kira-kira RM40.5 hingga RM44 bilion.

Sasaran itu mencerminkan potensi untuk memperluas hubungan ekonomi, selain meneroka peluang baharu dalam sektor perdagangan, teknologi dan industri.

Lawatan kerja berkenaan dijadual diakhiri dengan pertemuan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bersama Timbalan Perdana Menteri Lebanon, Tarek Mitri.

Secara keseluruhannya, lawatan itu bukan sahaja bertujuan memperkukuh hubungan diplomatik sedia ada, malah menyediakan platform untuk Malaysia memperluas pengaruh diplomasi, kerjasama ekonomi dan pendidikan serta menyuarakan pendirian negara dalam menghadapi perubahan landskap geopolitik antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.