Pelan Seruan Istito’ah, inisiatif TH singkatkan tempoh menunggu haji

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 November – Pelan Persediaan Haji: Seruan Istito’ah antara inisiatif diperkenalkan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi membantu umat Islam membuat persediaan menunaikan ibadah haji lebih awal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelan membolehkan persediaan haji dilaksanakan secara lebih sistematik dan terancang serta diharap dapat memendekkan tempoh menunggu giliran.
  • TH menjangkakan tempoh menunggu haji disingkat daripada kira-kira 150 tahun kepada 70 tahun.
  • Kerajaan dan TH memantau pelaksanaan syor RCI termasuk pindaan Akta Tabung Haji, peraturan, tatatertib dan isu kawal selia untuk perkukuh tadbir urus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pelan itu juga membolehkan persediaan dapat dilaksana secara lebih sistematik dan terancang, sekali gus diyakini langkah terbaik dalam usaha memendekkan tempoh menunggu giliran ke Tanah Suci.

Menerusi inisiatif berkenaan, TH menjangkakan tempoh menunggu giliran haji dapat disingkatkan kepada jangka waktu lebih munasabah berbanding kaedah sebelum ini.

“Dengan inisiatif ini, TH menjangkakan tempoh menunggu giliran haji akan dapat disingkatkan kepada satu jangka waktu yang lebih munasabah berbanding kaedah sebelum ini yang memakan masa sekitar 150 tahun kepada 70 tahun”, katanya di Dewan Rakyat.

Menurutnya, pelaksanaan pelan tersebut mencerminkan komitmen TH untuk memperkukuh pengurusan haji, selain menggalakkan umat Islam membuat perancangan lebih awal bagi memenuhi tuntutan istito’ah sebelum menunaikan rukun Islam kelima itu.

Sementara itu, baki empat syor yang masih dalam tindakan melibatkan pindaan Akta Tabung Haji, peraturan berkaitan termasuk tatatertib, serta perkara yang menyentuh skop kawal selia Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.

“Kerajaan dan TH akan terus memantau pelaksanaan setiap syor RCI bagi memastikan tadbir urus, akauntabiliti, pengurangan risiko dan kemampanan kewangan Tabung Haji terus diperkukuh demi kepentingan para pendeposit dan bakal jemaah haji,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.