
SUBANG, 4 November – Penambahan dua helikopter jenis AW139 meningkatkan kekuatan aset udara operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kepada 10 buah, sekali gus memperkukuh keupayaan pasukan itu melaksanakan operasi menyelamat, termasuk di kawasan sukar diakses.
- Tahap kesiapsiagaan operasi udara JBPM dijangka meningkat daripada 50% kepada 85%.
- Bahagian Udara penting dalam pemadaman kebakaran hutan, SAR, MEDIVAC, BODEVAC dan sokongan logistik.
- Dua helikopter AW139 dilengkapi Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Helikopter (HEMS) diperoleh melalui projek konsesi pajakan.
- Pajakan berjaya menjimatkan RM3 bilion, penyelenggaraan 15 tahun ditanggung dan diurus oleh syarikat swasta.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, penambahan aset itu dijangka meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi udara JBPM daripada 50 peratus kepada 85 peratus.
“Bahagian Udara memainkan peranan yang semakin penting dalam pelbagai misi, termasuk pemadaman kebakaran hutan, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pemindahan pesakit menggunakan helikopter (MEDIVAC), pemindahan jenazah (BODEVAC) serta sokongan logistik.
“Penggunaan aset udara membolehkan JBPM meningkatkan keberkesanan dan intensiti operasi SAR, mempercepatkan penghantaran pasukan penyelamat ke lokasi kejadian serta mengurangkan risiko keletihan dan kecederaan dalam kalangan anggota penyelamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Pengoperasian Helikopter AW139 JBPM, hari ini.
Menurut Nga, penyerahan dua buah helikopter yang dilengkapi dengan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Helikopter (HEMS) itu diperoleh melalui Projek Konsesi Pajakan Helikopter untuk kegunaan agensi kerajaan yang dimeterai dengan pihak pembekal swasta.
“Bagi memastikan kelancaran operasi, JBPM turut mempunyai seramai 26 orang juruterbang helikopter, termasuk jurulatih penarafan jenis (Type Rating Instructor) yang berkelayakan bagi helikopter AW109E dan AW139,” katanya.
Dalam pada itu, Nga berkata, peralihan daripada kaedah pembelian kepada pajakan helikopter berjaya menjimatkan RM3 bilion, selain kos penyelenggaraan sepanjang tempoh konsesi 15 tahun ditanggung dan diuruskan oleh syarikat swasta.