Demokrat menang besar ‘tawan’ Kongres AS

Foto AFP

WASHINGTON, 4 November – Parti Demokrat ‘menawan’ Kongres Amerika Syarikat (AS) pada Selasa selepas melakar kemenangan besar dalam pilihan raya pertengahan penggal dengan merampas Senat dan Dewan Perwakilan daripada Parti Republikan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump memuji Demokrat, kata sedia terima keputusan dan mengaku konflik dengan Iran menyumbang kepada kekalahan tetapi pertahankan tindakan ketenteraan.
  • Troy Jackson menewaskan Susan Collins, menjadikan kerusi Senat ketujuh dirampas daripada Republikan.
  • Kemenangan mengejutkan di Kansas dan Iowa; Adam Hamilton senator Demokrat pertama Kansas sejak 1932, Iowa pilih senator Demokrat pertama sejak 2008.
  • Keisha Lance Bottoms dipilih gabenor Georgia, wanita kulit hitam pertama pegang jawatan itu; Florida beri sedikit kelegaan kepada Republikan.

Keputusan itu, sekali gus mencerminkan penolakan meluas pengundi terhadap Presiden Donald Trump.

Trump mengambil pendekatan berdamai meskipun sebelum ini sering mempersoalkan keputusan pilihan raya, apabila memberitahu The New York Times bahawa beliau benar-benar bersedia menerima keputusan berkenaan.

“Saya fikir Demokrat melakukan tugas dengan baik, saya benar-benar maksudkannya,” kata Trump, 80, kepada Fox News dalam pujian yang jarang diberikan kepada lawan politiknya.

Beliau mengakui konflik dengan Iran turut menyumbang kepada kekalahan itu, namun mempertahankan kempen ketenteraan berkenaan.

Ketika Trump mengakui kekalahan, skala kemenangan Demokrat terus berkembang apabila bekas pembalak, Troy Jackson menewaskan Senator Republikan, Susan Collins yang telah lama berkhidmat di Maine, sekali gus menjadikan kerusi Senat ketujuh dirampas parti itu daripada Republikan.

Kemenangan awal di Kansas dan Iowa sebelum itu memastikan Demokrat memperoleh majoriti Senat, susulan kejayaan mengejutkan di Texas, Carolina Selatan, Carolina Utara dan Ohio.

Di Kansas, paderi Methodist, Adam Hamilton menjadi calon Demokrat pertama dipilih ke Senat dari negeri konservatif itu sejak 1932.

Iowa pula tidak memilih senator Demokrat sejak 2008.

Calon Demokrat dari Texas, James Talarico mengisytiharkan kejayaan menewaskan ‘gergasi’ selepas memenangi kerusi Senat, manakala Gina Hinojosa menewaskan Gabenor Republikan negeri itu, Greg Abbott, sekali gus menamatkan penguasaan Republikan selama beberapa dekad.

Demokrat turut mempertahankan beberapa kerusi penting mereka di Senat, termasuk kerusi Ossoff di Georgia dan satu kerusi kosong di New Hampshire.

Kemenangan parti itu di Dewan Perwakilan pula menyaksikan pertambahan kerusi di Pennsylvania, Kentucky, Arizona, Carolina Utara dan New Jersey, termasuk kawasan yang dimenangi Trump dengan majoriti besar pada 2024.

Dalam salah satu persaingan yang menjadi tumpuan, calon Demokrat, J.D. Ford menewaskan anggota kongres Republikan, Victoria Spartz di Indiana, sekali gus merampas kawasan yang dimenangi Trump dengan kelebihan 17 mata dua tahun lalu.

Demokrat turut memenangi jawatan gabenor Georgia apabila bekas Datuk Bandar Atlanta, Keisha Lance Bottoms dipilih sebagai wanita kulit hitam pertama memegang jawatan itu dalam sejarah AS.

Republikan memperoleh sedikit kelegaan di Florida apabila Byron Donalds yang disokong Trump menjadi gabenor kulit hitam pertama negeri itu, manakala Ashley Moody mengekalkan kerusi Senat. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.