
KUALA LUMPUR, 4 November – Pengkomersialan produk inovasi agromakanan yang dipamerkan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 akan diperkukuh bagi memastikan produk berkenaan berupaya menembusi pasaran domestik dan antarabangsa.
- FAMA komited memperluas akses pasaran melalui pembangunan keusahawanan dan peningkatan daya saing produk tempatan.
- Projek IAT (RMK-13) menyasarkan pembangunan keupayaan 100 usahawan, penyertaan pameran dan pengukuhan jenama.
- Projek Pemerkasaan Eksport mensasarkan simulasi eksport, misi perdagangan, pensijilan produk, sesi pitching, bimbingan dan ejen pemasar luar negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata kementerian menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) komited untuk memperluas akses pasaran menerusi pembangunan keusahawanan dan peningkatan daya saing produk tempatan.
Jelasnya, antara mekanisme susulan ialah pelaksanaan projek Pembangunan Pasaran dan Padanan Produk Mikro Industri Asas Tani (IAT) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
Bagi tahun 2027, projek berkenaan menyasarkan pembangunan keupayaan 100 usahawan industri kecil dan sederhana, selain penyertaan dalam dua pameran perdagangan serta pengukuhan jenama bagi memperluas pasaran produk agromakanan tempatan.
“Bagi pasaran antarabangsa, FAMA melaksanakan Projek Pemerkasaan Eksport dan Keusahawanan Global bagi membangunkan keupayaan usahawan serta pembekalan produk berorientasikan eksport.
“Pada tahun 2027, projek ini menyasarkan dua simulasi dan percubaan eksport, empat misi perdagangan, pembangunan enam produk pensijilan eksport, lapan sesi ‘pitching’ dan kursus bimbingan serta pembangunan empat ejen pemasar luar negara melalui kerjasama syarikat pengurusan eksport,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi mengenai mekanisme susulan untuk memastikan inovasi agromakanan berjaya dikomersialkan dan menembusi pasaran domestik serta antarabangsa.