
ALOR SETAR, 4 November – Polis Kedah berjaya melumpuhkan tujuh kumpulan sindiket yang terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian menerusi pusat panggilan (calling centre), dengan 87 suspek ditahan sehingga Oktober tahun ini.
- Tangkapan melibatkan 27 warga tempatan, 15 warga China, 33 warga Pakistan, lapan warga India dan empat warga Bangladesh.
- Sindiket menyasarkan mangsa tempatan dan warga asing termasuk Thailand, Jepun, China, Australia, India dan Bangladesh.
- Modus operandi melibatkan penyalahgunaan transaksi bank, nombor ramalan palsu, penipuan cinta, tawaran kerja palsu dan penipuan telefon.
- Rampasan dianggarkan RM300,000 termasuk telefon bimbit, komputer, penghala, kad ATM, kad SIM dan pakaian seragam agensi penguat kuasa.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, tangkapan melibatkan 27 warga tempatan, 15 warga China, 33 warga Pakistan, lapan warga India dan empat warga Bangladesh.
Daripada jumlah itu, 22 warga tempatan ialah lelaki manakala lima wanita.
Tangkapan turut melibatkan 28 lelaki dan lima wanita warga Pakistan serta enam lelaki dan dua wanita warga India.
Menurutnya, hasil soal siasat mendapati sindiket menyasarkan mangsa dalam kalangan rakyat tempatan dan warga asing, termasuk dari Thailand, Jepun, China, Australia, India serta Bangladesh.
Siasatan turut mendedahkan pelbagai taktik digunakan sindiket dengan memanipulasi kemudahan komunikasi dan teknologi bagi memperdaya mangsa untuk memperoleh keuntungan secara tidak sah.
“Antara modus operandi yang dikenal pasti termasuk penyalahgunaan transaksi kewangan dalam institusi perbankan, tawaran nombor ramalan tidak wujud secara dalam talian, penipuan percintaan (love scam), tawaran kerja sambilan tidak wujud serta penipuan telekomunikasi (phone scam) yang melibatkan penyamaran identiti sebagai pegawai penguat kuasa,” katanya pada sidang media di sini.
Dalam operasi bersepadu itu, polis turut merampas pelbagai peralatan dan barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket berkenaan.
Antara dirampas ialah telefon bimbit, komputer, modem, penghala (router), kad ATM, kad prabayar, kad SIM, monitor, pakaian seragam agensi penguat kuasa serta dokumen, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM300,000.
Datuk Adzli berkata, kesemua suspek yang ditahan telah dituduh di mahkamah mengikut beberapa peruntukan undang-undang, antaranya Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Akta Imigresen 1959/63.