
KUALA LUMPUR, 4 November – Jualan PROTON meningkat 40.5 peratus kepada 182,510 unit bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026 berbanding tempoh sama tahun lepas, mencerminkan prestasi kukuh pengeluar automotif nasional itu dalam pasaran domestik.
- Jualan kumpulan pada Oktober 21,624 unit, pencapaian bulanan kedua tertinggi tahun ini dan permulaan suku keempat terbaik sejak 2005.
- Anggaran pegangan pasaran Oktober 30.6 peratus, pegangan terkumpul bagi 10 bulan pertama dianggarkan 27.1 peratus.
- Permintaan terhadap kenderaan elektrik Proton tinggi; jualan terkumpul e.MAS 35,730 unit, e.MAS 5 sumbang 23,189 unit.
PROTON memaklumkan jualan kumpulan pada Oktober berjumlah 21,624 unit, menjadikannya pencapaian jualan bulanan kedua tertinggi bagi tahun ini dan permulaan suku keempat terbaik syarikat sejak 2005.
Menurut syarikat berkenaan, anggaran pegangan pasaran bagi Oktober ialah 30.6 peratus, manakala pegangan pasaran terkumpul bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini dianggarkan sebanyak 27.1 peratus.
“Prestasi jualan itu turut disokong permintaan terhadap rangkaian kenderaan elektrik dan elektrifikasi (xEV) apabila jualan terkumpul Proton e.MAS mencapai 35,730 unit setakat Oktober.
“Proton e.MAS 5 menyumbang jualan sebanyak 23,189 unit bagi tempoh berkenaan, manakala Proton e.MAS 7 PHEV dan Proton e.MAS 7 masing-masing mencatatkan jualan terkumpul sebanyak 6,962 unit dan 5,579 unit.
“Daripada segi eksport, PROTON dan Geely merekodkan penghantaran sebanyak 2,610 unit pada Oktober, menjadikan jumlah eksport terkumpul meningkat kepada 9,980 unit setakat tahun ini,” menurut kenyataan itu.