
KUCHING, 4 November – Seorang lelaki tempatan berusia 69 tahun mengalami kerugian RM1.44 juta selepas diperdaya sindiket penipuan telefon (phone scam) di sini.
- Sindiket menyamar pegawai penguat kuasa melalui panggilan WhatsApp, menuduh mangsa terbabit pengubahan wang haram.
- Mangsa diarahkan membuka akaun Alliance Bank dan melakukan beberapa pemindahan wang atas arahan suspek.
- Polis menasihatkan orang ramai tidak panik, jangan kongsi maklumat peribadi, dan semak nombor akaun mencurigakan melalui portal Semak Mule PDRM.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu dalam kenyataan berkata, mangsa menerima panggilan menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai agensi penguat kuasa.
“Suspek mendakwa mangsa mempunyai waran tangkap dan akaun banknya terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.
Mangsa kemudian diarahkan membuka akaun Alliance Bank dan memberikan nombor telefon suspek untuk tujuan pengesahan,” katanya.
Suspek seterusnya memasukkan wang berjumlah RM1.41 juta ke dalam akaun berkenaan sebelum mengarahkan mangsa membuat beberapa transaksi pemindahan wang.
Mangsa turut diarahkan memindahkan RM900,000 ke akaun bank milik suspek.
Bagaimanapun, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM1,443,355.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak panik apabila menerima panggilan mencurigakan serta tidak berkongsi maklumat peribadi atau perbankan dengan individu tidak dikenali.
Orang ramai juga dinasihatkan menyemak nombor akaun dan telefon yang mencurigakan menerusi portal Semak Mule Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sebarang maklumat berkaitan penipuan boleh disalurkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 atau Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak di talian 011-62890089.