
KUALA LUMPUR, 4 November – IOI Corporation Berhad (IOI) dijangka memperoleh pendapatan tahunan antara RM14 juta hingga RM16 juta menerusi projek tenaga solar di Bahau, Negeri Sembilan, mulai tahun kewangan 2029.
- Projek berkapasiti 500 MWac merupakan langkah pertama IOI menceburi sektor tenaga solar.
- Usahasama TNB 70%, IOI 25% dan konsortium PKS 5%.
- Sistem penyimpanan bateri 250MW menyimpan sehingga 1,000 MWh; tenaga dibekalkan kepada DayOne Data Centres melalui skim CRESS.
- Projek memerlukan pelaburan sehingga RM2 bilion dan dijangka operasi selepas perjanjian CRESS dimuktamadkan, menyokong pendapatan berterusan dan pemelbagaian.
MBSB Investment Bank Berhad (MBSB IB) dalam nota penyelidikannya berkata, projek berkapasiti 500 megawatt arus ulang-alik (MWac) itu merupakan langkah pertama IOI menceburi sektor tenaga solar.
“Projek itu dibangunkan menerusi kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan sebuah konsortium perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui Bahau Energy Ventures.
TNB memegang 70 peratus kepentingan dalam syarikat usaha sama itu, manakala IOI memiliki 25 peratus dan konsortium PKS sebanyak lima peratus,” menurut nota itu.
Projek itu turut dilengkapi sistem penyimpanan tenaga bateri berkapasiti 250MW yang mampu menyimpan sehingga 1,000 megawatt-jam (MWh) tenaga elektrik.
Tenaga yang dijana akan dibekalkan kepada DayOne Data Centres yang berpangkalan di Singapura menerusi Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).
MBSB IB menganggarkan projek itu memerlukan pelaburan sehingga RM2 bilion dan dijangka mula beroperasi pada 2029, selepas perjanjian berkaitan CRESS dimuktamadkan pada separuh pertama 2027.
Menurutnya, projek itu akan memberikan pendapatan berterusan kepada IOI menerusi keuntungan usaha sama, hasil pajakan tanah dan pembiayaan pemegang saham sepanjang tempoh perjanjian 21 tahun.
MBSB IB berpandangan projek berkenaan dapat membantu IOI mempelbagaikan sumber pendapatan di luar sektor perladangan, selain menyokong pelan strategik syarikat bagi tempoh 2025 hingga 2029.