
KUALA LUMPUR, 3 November – Pahang berpotensi muncul antara pengeluar utama jagung bijian negara menerusi kerjasama strategik Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), dengan sasaran awal pembangunan kawasan seluas lebih 404 hektar.
- MoU antara PKPS dan PKPP dimeterai, disaksikan Sultan Pahang, Tengku Mahkota dan Menteri Besar Pahang.
- Jagung bijian diutamakan; projek boleh dimulakan dalam setahun kerana benih, teknologi dan pengalaman sudah sedia.
- Kerjasama merangkumi padi moden (121.41 hektar), pertanian komuniti fertigasi kira-kira 202 hektar dan agropelancongan.
- Pengeluaran jagung tempatan dijangka kurangkan kos makanan ternakan, tingkatkan kecekapan industri penternakan serta peluang ekonomi baharu.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembangunan jagung bijian menjadi antara keutamaan kerjasama itu berikutan potensinya mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan ternakan, sekali gus menurunkan kos industri penternakan.
“Saya sasarkan kita tidak perlu menunggu lama. Dalam tempoh setahun, kita sudah boleh memulakan pembangunan jagung bijian kerana segala keperluan asas sudah tersedia, termasuk benih, teknologi dan pengalaman. Kita hanya perlu menyesuaikan serta menyelaras pelaksanaannya. Jadi, sasaran untuk memulakan projek jagung bijian dalam tempoh setahun adalah sesuatu yang sangat realistik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara PKPS dan PKPP disaksikan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di sini.
Selain jagung bijian, kerjasama itu turut menyasarkan pembangunan padi moden seluas 121.41 hektar, pertanian komuniti fertigasi kira-kira 202 hektar serta agropelancongan di kawasan tanah tinggi dan tanah rendah.
Datuk Seri Amirudin berkata pengeluaran jagung bijian tempatan juga mampu mengurangkan kos makanan ternakan.
“Saya percaya penghasilan jagung bijian mampu mengurangkan kos pengeluaran produk tenusu dan daging dalam negara, termasuk ayam, lembu serta kambing.
“Justeru, pengeluarannya secara tempatan dapat membantu menjimatkan kos pemeliharaan haiwan sekali gus meningkatkan kecekapan industri penternakan serta bekalan susu dan daging negara,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Dr. Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, kerjasama itu melibatkan empat bidang utama iaitu pembangunan Jelapang Padi Darul Makmur, jagung bijian, program pertanian komuniti Shahzan Makmur serta agropelancongan dan agroedukasi.
Bagi pembangunan padi, pendekatan serta pengalaman PKPS di Selangor akan dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti tanaman berkenaan di Pahang.
“Sebagai permulaan, kita akan memberi tumpuan kepada empat bidang kerjasama. Antaranya ialah pembangunan jelapang padi yang sebenarnya sudah dimulakan di Pahang Tua melibatkan kawasan kira-kira 121.41 hektar.
“Kita berjaya meningkatkan hasil daripada 3.2 kepada 7.2 tan metrik sehektar menerusi penggunaan model yang sama seperti dilaksanakan di Jelapang Padi Darul Ehsan di Sekinchan,” jelasnya.
Bagi agropelancongan, kedua-dua agensi turut merancang konsep pertanian berkembar membabitkan Cameron Highlands dan Selangor Fruit Valley menerusi perkongsian kepakaran serta pengurusan.
“Konsep ini agak unik iaitu pembangunan kawasan seluas lebih 40 hektar di Cameron Highlands sebagai destinasi agropelancongan yang akan diuruskan bersama oleh PKPS dan PKPP,” ujarnya lagi.
Datuk Dr. Mohamad Khairil Mohamad juga memaklumkan, model pengurusan dan kaedah pelaksanaan setiap projek akan diperincikan sebelum dilaksanakan secara berperingkat mengikut kesesuaian kawasan.
Kerjasama itu diharap dapat meningkatkan pengeluaran makanan tempatan, mengurangkan kebergantungan terhadap import serta membuka peluang ekonomi baharu kepada rakyat Pahang.