
TANJUNG KLING, 3 November – Kerajaan sasar bangunkan 50 lagi depoh susu getah atau lateks di seluruh negara tahun hadapan bagi memperkukuh pengeluaran bahan mentah getah tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan industri terhadap import lateks.
- Kerjasama RISDA dan LGM dilaksanakan untuk mengurangkan import lateks, kini dianggarkan bernilai RM7 bilion setahun.
- Kerajaan galak kerjasama industri bagi memperluas produk hiliran getah, merancakkan ekonomi dan menambah peluang pekerjaan.
- Teknologi penorehan tebuk (puncture tapping) akan diperluas ke Semenanjung; 30 projek telah dimulakan daripada 137.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM), susulan keperluan mengurangkan import lateks yang kini dianggarkan bernilai RM7 bilion setahun.
Beliau berkata, selain meningkatkan pengeluaran, kerajaan turut menggalakkan kerjasama dengan pihak industri bagi memperluas penghasilan produk hiliran berasaskan getah, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
Malah, katanya, penggunaan teknologi baharu dikenali sebagai teknologi penorehan secara tebuk atau “puncture tapping” yang telah diuji di Sarawakakan diperluas ke Semenanjung Malaysia tahun hadapan.
“Pokok getah yang tua pun akan digunakan sebagai pokok pengeluaran getah sebab pokok tua tidak dapat mengeluarkan getah lagi kalau ditoreh tetapi dengan teknologi baharu ini.
“Ini merupakan satu pendekatan baharu yang disokong oleh pihak kerajaan daripada 137 itu, kita telah memulakan 30 yang diselaraskan antara RISDA dan juga LGM,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Salam Agrikomoditi MADANI @Melaka di sini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, Melaka bakal memiliki stesen penyelidikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pertama di negeri
itu menerusi pembangunan fasiliti seluas 77.92 hektar di Sungai Rambai, Jasin.