47 NGO gesa kerajaan, pembangkang meterai perjanjian merentas parti

Foto Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR, 3 November – Sebanyak 47 organisasi masyarakat sivil (CSO) menggesa kerajaan dan pembangkang memeterai perjanjian merentas parti membabitkan kesemua 218 Ahli Parlimen bagi memastikan lapan reformasi utama negara dilaksanakan dalam baki penggal Parlimen ke-15.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gesaan Perdana Menteri mengadakan rundingan langsung dengan pimpinan Perikatan Nasional bagi merealisasikan perjanjian merentas parti yang ambil kira kepentingan kedua pihak.
  • Cadangan lapan reformasi termasuk had tempoh Perdana Menteri 10 tahun, pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Akta Kebebasan Maklumat dan Akta Ombudsman.
  • Penggubalan Akta Pendanaan Politik, pelaksanaan CDF adil, SPR bertanggungjawab kepada Parlimen dan notis tiga bulan bagi pembubaran awal Parlimen.
  • Sokongan terhadap CSA bertaraf terhad; organisasi mahukan perjanjian baharu dengan PN dan Kerajaan MADANI merangkumi agenda reformasi menyeluruh.

Dalam kenyataan bersama, gesaan itu bertujuan mengelak agenda reformasi tergendala akibat ketidaktentuan politik, selain memperkukuh demokrasi berparlimen, kestabilan politik dan akauntabiliti negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Kenyataan bersama itu melibatkan Projek SAMA, Bersih, C4 Center, IDEAS, Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Rasuah Busters serta disokong 41 organisasi masyarakat sivil lain.

“Organisasi berkenaan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan rundingan secara langsung dengan kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) bagi merealisasikan perjanjian yang turut mengambil kira kepentingan kerajaan MADANI dan pembangkang.

“Lapan reformasi dicadangkan merangkumi had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, penggubalan Akta Kebebasan Maklumat serta Akta Ombudsman,” jelas kenyataan itu.

Turut dicadangkan ialah Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) yang saksama, Akta Pendanaan Politik termasuk dana awam kepada parti politik, meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah tanggungjawab Parlimen serta menetapkan notis tiga bulan bagi pembubaran awal Parlimen.

Menurut kenyataan itu lagi, empat reformasi pertama merupakan antara komitmen awal Perdana Menteri, dengan dua daripadanya memerlukan sokongan majoriti dua pertiga atau 148 Ahli Parlimen bagi pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, pelaksanaan CDF secara adil kepada semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta penggubalan undang-undang pendanaan politik penting bagi memastikan persaingan politik lebih saksama dan mengurangkan pengaruh penderma swasta.

Organisasi berkenaan turut menegaskan SPR perlu bebas, berkecuali dan bertanggungjawab terus kepada Parlimen bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem pilihan raya.

Dalam perkembangan berkaitan, mereka menyambut baik pemeteraian Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) antara kerajaan dan 13 Ahli Parlimen pada 29 Oktober lalu.

“Bagaimanapun, skop CSA itu disifatkan masih terhad dan bersifat transaksional, khususnya apabila peruntukan CDF yang saksama masih menjadi perkara rundingan dan bukannya dijamin melalui undang-undang,” ujarnya.

Sehubungan itu, mereka menyokong cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said supaya PN memeterai satu lagi CSA dengan Kerajaan MADANI, namun menegaskan perjanjian baharu perlu merangkumi agenda reformasi yang lebih menyeluruh.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.