
ALOR GAJAH, 3 November – Latihan tenaga pengajar menjadi antara langkah awal dalam usaha mewujudkan Jabatan Teknologi Kuantum di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
- Latihan pensyarah sebagai langkah awal mewujudkan Jabatan Teknologi Kuantum di UiTM.
- Pensyarah IT dan digital dicadang dihantar mengikuti Sarjana, PhD dan kursus jangka pendek untuk meningkatkan kemahiran.
- UiTM dipilih kerana jaringan kampus dan bilangan pelajar, menjadikan ia asas kepada penubuhan Fakulti Teknologi Kuantum masa hadapan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pensyarah dalam bidang teknologi maklumat dan digital dicadang dihantar mengikuti pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah, selain kursus jangka pendek berkaitan teknologi berkenaan.
“Langkah itu penting bagi menyediakan tenaga pengajar berkemahiran yang mampu menerajui pembangunan bidang teknologi kuantum di negara ini.
“Langkah itu dapat menjadi peneraju kepada Jabatan dan Fakulti Teknologi Kuantum,” katanya.
Menurut beliau, UiTM dipilih mengambil kira jaringan kampusnya di seluruh negara serta jumlah pelajar yang ramai, sekali gus berpotensi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang teknologi baharu.
Beliau berharap penubuhan jabatan itu dapat menjadi asas kepada kewujudan Fakulti Teknologi Kuantum di UiTM pada masa hadapan.
Datuk Seri Ahmad Zahid berkata demikian ditemui pemberita pada Program Apa Khabar Siswa (Patriotisme diperkasa) di UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah.