
PUTRAJAYA, 3 November– Peruntukan lebih RM250 juta diluluskan Kerajaan MADANI bagi memperkukuh pembangunan infrastruktur pengangkutan di Kelantan menerusi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
- Cadangan penyambungan jajaran keretapi dari Kota Bharu ke Rantau Panjang.
- RM30 juta diperuntuk bagi pembinaan terminal bas baharu di Stesen Kota Bharu; baki untuk kerja awal pemanjangan.
- Fasa awal melibatkan reka bentuk, pengukuran dan penyiasatan tanah, EIA, penyediaan skim kereta api serta penyediaan tapak.
- Pelaburan dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi Kelantan, tarik pelaburan, wujudkan peluang pekerjaan dan tingkatkan daya saing negeri.
Ianya merangkumi cadangan penyambungan jajaran keretapi berkenaan dari Kota Bharu ke Rantau Panjang.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), RM30 juta diperuntuk bagi pembinaan terminal bas baharu di Stesen ECRL Kota Bharu, manakala baki lebih RM200 juta disediakan untuk kerja-kerja awal cadangan pemanjangan jajaran.
“Fasa awal projek pemanjangan itu merangkumi kerja reka bentuk awal, pengukuran dan penyiasatan tanah, Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA), penyediaan Skim Kereta Api serta kerja-kerja penyediaan tapak bagi membolehkan pelaksanaan projek fasa seterusnya,” demikian menurut kenyataan MOF.
MOF memaklumkan, pelaburan berkenaan bukan sekadar memperkukuh infrastruktur pengangkutan, malah berpotensi membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi Kelantan menerusi perkembangan aktiviti perniagaan dan sektor logistik.
Usaha itu turut dijangka menarik lebih banyak pelaburan serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, sekali gus meningkatkan daya saing ekonomi negeri.
Kementerian kewangan menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara terangkum dan seimbang, tanpa tertumpu di bandar-bandar utama.
Kemajuan negara juga perlu dinikmati seluruh rakyat, termasuk di Kelantan, selaras dengan usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat menerusi pembangunan yang lebih menyeluruh.