COB3R platform pembudayaan amalan kitar semula komuniti

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 3 November – Penubuhan Pusat Komuniti Kitar Semula berpotensi menjadi platform pendidikan dan pembudayaan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat setempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • COB3R fasa rintis di Presint 9 akan dinilai terlebih dahulu sebelum skala diperluaskan.
  • Pengurusan bersama MPP dan Perbadanan Putrajaya serta pemantauan bagi memastikan fasiliti dimanfaatkan dan tidak disalahgunakan.
  • Tumpuan kepada pendidikan, perkongsian kemahiran dan penghasilan produk daripada bahan terpakai untuk membudayakan amalan kitar semula.
  • Kesedaran dan penguatkuasaan diperlukan kerana kos pengurusan sisa meningkat dan penduduk perlu bertanggungjawab terhadap sampah mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, pelaksanaan Community-Based Eco Recycling Hub (COB3R) di Presint 9 di sini akan dijadikan projek rintis bagi menilai keberkesanan konsep pusat kitar semula berasaskan komuniti itu.

Bagaimanapun, keberkesanannya akan dinilai terlebih dahulu sebelum konsep berkenaan dipertimbangkan untuk diperluas ke kawasan lain di Wilayah Persekutuan.

Pengurusan fasiliti itu akan melibatkan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) bersama Perbadanan Putrajaya bagi memastikan kemudahan berkenaan dimanfaatkan secara berterusan dan tidak terbiar.

“Kesedaran perlu dipupuk terlebih dahulu sebelum penguatkuasaan dilaksanakan. Tanpa penguatkuasaan, sesuatu amalan sukar dijadikan sebagai budaya dan kebiasaan dalam kalangan masyarakat.

“Dalam keadaan perubahan iklim serta peningkatan kos pengurusan sisa pepejal yang perlu ditanggung pihak berkuasa tempatan (PBT), usaha mendidik pihak berkepentingan, khususnya penduduk setempat, amat penting.

“Penduduk sebagai pembayar cukai perlu memahami bahawa kegagalan mengamalkan pengurusan sisa yang baik akan memberi kesan kepada peningkatan kos yang akhirnya ditanggung mereka melalui cukai taksiran.

“mereka perlu mengambil tahu dan bertanggungjawab terhadap pengurusan sampah selepas ia dibuang keluar dari kawasan rumah masing-masing,” katanya.

Hannah berkata demikian selepas merasmikan COB3R di sini pada Selasa.

Beliau turut mengingatkan bahawa pemantauan perlu dilaksanakan bagi mengelakkan fasiliti itu disalahgunakan sebagai tempat pembuangan sampah atau penyimpanan barangan terpakai.

COB3R Fasa 1 yang dibangunkan dengan kos kira-kira RM900,000 dan berkeluasan 232 meter persegi memberi tumpuan kepada pendidikan kitar semula, perkongsian kemahiran serta penghasilan produk daripada bahan terpakai.

Pada 2025, Putrajaya merekodkan kutipan lebih 8.6 juta kilogram (kg) bahan kitar semula, meningkat hampir 840,000 kg berbanding tahun sebelumnya.

Dalam perkembangan berkaitan, usaha membudayakan amalan kitar semula tidak boleh bergantung kepada kempen kesedaran semata-mata, sebaliknya perlu disusuli penguatkuasaan bagi memastikan perubahan tabiat masyarakat.

Beliau berkata penduduk juga perlu memahami peningkatan kos pengurusan sisa pepejal yang ditanggung pihak berkuasa tempatan, memandangkan perbelanjaan itu akhirnya melibatkan wang rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.