Vietnam tarik balik cadangan benarkan kanak-kanak derma organ

Foto hiasan/ AFP

HANOI, 2 November –Vietnam menarik balik cadangan yang membenarkan kanak-kanak berusia 15 hingga 17 tahun menderma organ selepas meninggal dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penggubalan pindaan undang-undang bertujuan tingkatkan pemindahan organ dan lindungi hak penderma.
  • Peruntukan membenarkan pendermaan bawah 18 tahun digugurkan selepas bantahan awam; penggubal mahukan hanya dewasa dibenarkan.
  • Draf terbaharu benarkan kanak-kanak menderma tisu boleh diperbaharui kepada ahli keluarga dengan penilaian, kaunseling dan persetujuan.

Tindakan itu susulan kritikan orang ramai terhadap cadangan berkenaan.

Keputusan itu dibuat ketika negara berkenaan berdepan kekangan dalam pelaksanaan pemindahan organ daripada penderma yang telah meninggal dunia.

Vietnam memulakan pemindahan buah pinggang pada 1992 dan melaksanakan jumlah pemindahan organ tahunan tertinggi di rantau ini, menurut media kerajaan.

Bagaimanapun, sebahagian besar pemindahan organ di negara itu masih bergantung kepada penderma hidup, berbeza dengan banyak negara lain yang lebih bergantung kepada penderma yang telah meninggal dunia.

Pihak berkuasa Vietnam sedang berusaha mengemas kini undang-undang pendermaan organ dan tisu yang diperkenalkan pada 2006, bagi meningkatkan jumlah pemindahan organ yang dapat menyelamatkan nyawa, selain melindungi hak penderma.

Draf pindaan yang dikemukakan kepada Dewan Negara bulan lalu mencadangkan individu berusia 15 hingga 17 tahun dibenarkan menderma tisu, organ atau tubuh selepas meninggal dunia, dengan syarat mendapat persetujuan ibu bapa atau wakil sah.

Namun, susulan bantahan orang ramai di media sosial, peruntukan yang membenarkan pendermaan oleh individu bawah 18 tahun digugurkan daripada draf pindaan terbaharu bertarikh Ahad.

Kerajaan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas menerima saranan penggubal undang-undang supaya hanya individu dewasa dibenarkan menderma organ.

Antara kebimbangan yang dibangkitkan ialah sama ada persetujuan ibu bapa mencukupi untuk melindungi kanak-kanak daripada tekanan atau eksploitasi.

Kritikan turut tertumpu kepada tinjauan yang dijalankan terhadap murid sekolah seawal usia tujuh tahun pada Oktober lalu bagi mendapatkan maklum balas mengenai draf undang-undang berkenaan.

Menurut media tempatan, Tuoi Tre News, tinjauan itu mencetuskan persoalan sama ada golongan bawah umur mampu memahami isu perubatan, perundangan dan etika yang kompleks.

Dalam pada itu, Timbalan Dewan Negara, Pham Khanh Phong Lan, sebelum ini menggesa penggubal undang-undang menolak cadangan berkenaan dengan menegaskan bahawa seorang kanak-kanak tidak boleh dikorbankan demi menyelamatkan kanak-kanak lain.

Bagaimanapun, draf pindaan terbaharu masih membenarkan golongan bawah umur yang masih hidup menderma tisu yang boleh diperbaharui, termasuk bagi pemindahan sumsum tulang atau sel stem kepada ahli keluarga, sekiranya tiada penderma dewasa yang sesuai.

Prosedur itu memerlukan penilaian kesihatan, sesi kaunseling serta persetujuan daripada kanak-kanak berkenaan dan wakil sah mereka.

Rang undang-undang itu dijangka diluluskan pada bulan ini. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.