PKPS pastikan pematuhan halal terhadap bekalan ayam

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 November – Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sentiasa memastikan keterjaminan bekalan makanan, termasuk bekalan ayam, selain pematuhan terhadap standard halal bagi semua produk makanan yang dipasarkan menerusi agensi itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • PKPS meneliti sumber bekalan, dokumentasi pembekal dan status pensijilan halal berdasarkan keperluan serta rekod pihak berkuasa.
  • Menyokong pemantauan dan penguatkuasaan pihak berkuasa bagi memastikan aktiviti penyembelihan dan pengedaran mematuhi peraturan serta hukum syarak.
  • Bekerjasama dengan pihak berkaitan memantau sumber dan proses pengedaran untuk menjamin aspek halal, kebersihan dan kualiti program anjuran.
  • Orang ramai boleh menyemak status pensijilan halal melalui Direktori Halal JAKIM, maklumat tertakluk kepada rekod dan skop pensijilan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Wira Dr. Mohamad Khairil Mohamad Razi, dalam kenyataan memaklumkan, bekalan ayam bawah agensi termasuk aspek sumber bekalan, dokumentasi pembekal dan status pensijilan halal sentiasa diteliti berdasarkan keperluan serta rekod pihak berkuasa berkaitan.

“PKPS turut menyokong usaha pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan aktiviti penyembelihan serta pengedaran ayam yang dibekalkan melalui rangkaiannya mematuhi peraturan dan keperluan yang ditetapkan, termasuk aspek pensijilan halal dan hukum syarak.

“PKPS akan terus bekerjasama dengan pihak berkaitan dalam memantau sumber dan proses pengedaran bekalan ayam bagi program-program anjurannya bagi memastikan aspek halal, kebersihan dan kualiti sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh membuat semakan status pensijilan halal bagi bekalan ayam bawah pengurusan PKPS melalui Direktori Halal Malaysia disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi https://www.halal.gov.my/directory/ .

Maklumat berkaitan status pensijilan halal adalah tertakluk kepada rekod dan skop pensijilan yang dipaparkan dalam direktori berkenaan.

PKPS akan terus komited dalam menyokong usaha memperkukuh keterjaminan bekalan makanan serta memastikan pengurusan bekalan bawah kendaliannya mengutamakan aspek halal, kebersihan dan kualiti demi menjamin keyakinan pengguna.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.